'Madu lebih manis dikongsi bersama' - muafakat jiran majukan projek kelulut
Hakim Rahman
Mei 6, 2018 09:19 MYT
Mei 6, 2018 09:19 MYT
Pepatah Melayu ada menyebut, “Jiran sepakat membawa berkat”.
Amalan kejiranan yang baik jika dipraktikkan bukan sahaja dapat menyatupadukan masyarakat, malah mencorak kerjaya dan mengolah imbuhan yang dapat dikongsi bersama.
Bagi warga Taman Flora Height, Pasir Gudang, perkongsian kepakaran seorang penduduk di situ telah merubah landskap masyarakat di sini.
Semuanya bermula apabila S. Saravanan bertekad untuk meluaskan perusahaan madu kelulut di kawasan tempat tinggalnya itu.
“Pada mulanya saya mengusahakan madu kelulut di luar, kemudian saya terfikir kenapa tidak saya buat di sini untuk menaikkan nama taman ini dan tambah pendapatan penduduk di sini.
“Buat masa ini saya belum ada pekerja tetapi saya cuma ajar penduduk di sini macam mana menguruskan madu kelulut ini, jadi mereka boleh tambah pendapatan,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Madu Kelulut Taman Flora Height.
Saravanan memulakan perusahaan madu kelulut ini dengan modal RM35,000 untuk membeli 10 sarang lebah dan peralatan untuk memproses madu.
Selepas hampir dua tahun, dia kini mempunyai 16 sarang kelulut di tanah seluas setengah ekar.
Hasil sedutan madu kelulut itu kemudiannya dipasarkan oleh penduduk.
“Kalau saya sedut seluruh sarang ini boleh dapat 12 kilogram dan kami jual pada harga RM350 sekilogram dan mereka memperoleh komisen daripada penjualan itu,” katanya.
Di kawasan lapang itu juga ada projek tanaman cili fertigasi yang diusahakan secara bersama oleh penduduk.
“Kita tidak kira bangsa, Melayu atau Cina kita bekerjasama membahagikan tugas masing-masing untuk mengusahakan tanah di taman ini.
“Ada yang akan memastikan saluran air cukup dan ada juga yang memetik cili,” kata Tee Lay Ting, Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Flora Height.
Semua hasil berbudi pada tanah itu kemudiannya dibahagikan kepada penduduk.
Sementara itu bagi Datuk Zamri@Zahari Drawuh, Ketua Komuniti Taman Flora Height, hubungan erat penduduk di situ dapat dilakukan atas semangat muafakat.
“Selagi mereka menghayati konsep muafakat, saya percaya setiap masyarakat akan dapat melakukan perkara yang sama,” katanya.
Kekuatan komuniti seperti di Taman Flora Height inilah yang harus difahami bakal-bakal Yang Berhormat agar mereka dapat terus diperkasakan.