MAB tidak akan minta pembiayaan tambahan daripada Khazanah
Malik Ridhwan
Oktober 12, 2016 09:14 MYT
Oktober 12, 2016 09:14 MYT
Malaysia Airlines Berhad (MAB) tidak memerlukan dana tambahan daripada pemegang saham utamanya Khazanah Nasional Berhad.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew, sasaran yang ditetapkan Khazanah berjaya dilaksanakan dan akan melaksanakan pelan yang dirancang lebih awal.
“Kami tidak akan meminta dana tambahan. Kami mempunyai program yang dipersetujui dengan Khazanah.
"Setakat ini kami menepati semua sasaran yang ditetapkan Khazanah. Jika boleh, saya akan cuba melaksanakan pelan itu lebih awal daripada dirancang,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman kerjasama Malaysia Airlines dan Liverpool FC pada Selasa.
Dalam pada itu, Malaysia Airlines yakin prestasi faktor muatan syarikat positif menjelang Disember hingga Mac tahun depan
“Bagi tempoh 18 bulan, kami akan cuba dapatkan faktor muatan 80 peratus. Sejak beberapa bulan ia mencecah purata 68 dan 69 peratus. Ia semakin meningkat kini.
“Kami gembira dengan perkembangan terkini kerana faktor muatan semasa berada pada sekitar 71 hingga 73 peratus.
Bellew berkata, kadar tempahan Malaysia Airlines memberangsangkan dengan peningkatan 20 peratus bagi 18 bulan akan datang.
Ia dipacu aktiviti promosi syarikat membabitkan laluan utamanya.