#MA2017: Inovasi jadi cabaran untuk usahawan pemula
Dania Zainuddin
Oktober 6, 2017 19:30 MYT
Oktober 6, 2017 19:30 MYT
Inovasi ialah komponen penting bagi mana-mana organisasi, khususnya golongan usahawan pemula (startup), dalam mendepani perubahan trend dan pasaran semasa.
Namun persoalan yang sering dibangkitkan dalam kalangan peniaga pemula ini adalah ‘Bagaimana untuk jadi lebih inovatif?’
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Ashran Ghazi, masalah pendekatan dan pemikiran untuk berinovasi menjadi cabaran kepada usahawan pemula.
“Bila kita bercakap mengenai pemikiran inovatif atau kreatif, ia sering dilihat seperti satu bayangan seseorang mendongak ke langit, dan cuba mendapatkan ilham.
“Ia bukan seperti itu. Daripada segi pendekatan, semua orang boleh menjadi inovatif dan kreatif jika mereka mengaplikasikan teknik tertentu.
“Pemikiran dalam otak kita rambang, kita perlu beri panduan dalam proses pemikiran kerana idea kita berselerak. Kita perlu menggunakan proses itu untuk mendapatkan hasil yang baik,” katanya.
Tambahnya, menjadi kebiasaan dalam kalangan komuniti usahawan untuk diberi penekanan terhadap inovasi.
“Daripada perspektif usahawan, perbicaraan itu sentiasa ada, dan mereka sentiasa ada hasrat untuk menjadi lebih inovatif.
“Tapi persoalannya, macam mana? Bagaimana pendekatan perniagaan itu boleh diubah?
“Itu perlu datang daripada usahawan sendiri. Usahawan perlu mendalami aspirasi mereka, perkara ini sukar dipaksa,” katanya.
Ashran berkata demikian dalam satu temu bual bersama Astro AWANI pada acara Simposium Akademi Magic 2017 (MA2017), di sini, pada Jumaat.
Jelasnya, Simposium MA2017 yang diadakan selama empat hari sejak Rabu telah menampilkan lebih 65 panelis dari dalam dan luar negara, dengan harapan ia membuka perspektif baharu kepada usahawan pemula dalam negara.
“Kami mahu menjadi Pusat Kreativiti dan Inovasi kepada usahawan, tidak kira kepada usahawan baharu atau lama.
“Setiap peringkat perniagaan ada kekangan dan kami mahu membantu, supaya mereka dapat membuka minda dan mencapai hasrat inovasi mereka,” katanya.
Setakat ini, acara MA2017 di bangunan MaGIC ini telah menyaksikan penyertaan lebih 2,000 orang.
Acara ini akan diakhiri dengan Pameran Kerjaya MA2017 yang menawarkan kira-kira 300 peluang pekerjaan oleh 103 syarikat pemula.