M40 tergelincir: Penentuan nilai ambang perlu diperluas - Pakar ekonomi

Hasimi Muhamad
Jun 21, 2021 15:55 MYT
Afzanizam berpandangan, penentuan nilai ambang tidak hanya perlu diukur berdasarkan pendapatan semata-mata, sebaliknya melihat kepada aset dan liabiliti yang dimiliki golongan M40 - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Nilai ambang bagi memberi gambaran mengenai kedudukan golongan berpendapatan pertengahan (M40) perlu diperluas bagi menilai lebih tepat impak pandemik COVID-19 ke atas kumpulan berkenaan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan, penentuan nilai ambang tidak hanya perlu diukur berdasarkan pendapatan semata-mata, sebaliknya melihat kepada aset dan liabiliti yang dimiliki golongan M40.
Jelas beliau lagi, sekiranya nilai ambang hanya dilihat dari sudut pendapatan, ia akan memberi impak kepada dasar kerajaan dan bentuk bantuan yang perlu disalurkan susulan pertambahan jumlah golongan B40 akibat isu rumah M40 yang tergelincir ke dalam kategori berkenaan.
"Jadi, memandangkan bagaimana kita meletakkan sesuatu nilai ambang itu berasaskan pendapatan, maka inilah yang terjadi.
"Jadi, saya kira mungkin dari segi nilai ambang atau perspektif perlu diperluaskan lagi, mungkin melebihi paras pendapatan tetapi kita melihat dari segi aset dan liabiliti kerana bagi mereka yang M40, saya kira mereka mempunyai aset yang bagus dari segi kecairan.
"Kalau kita bercakap mengenai rumah, secara total, kalau kita menggabungkan nilai ambang, selain faktor pendapatan dan kita mengambil kunci kira-kira, mungkin situasi itu tidak terlaku," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata sekiranya situasi yang menimpa M40 tidak ditangani dengan sebaiknya, enjin pertumbuhan utama negara iaitu perbelanjaan penggunaan akan terjejas.
Beliau berkata, perbelanjaan penggunaan menyumbang lebih 50 peratus kepada nisbah pertumbuhan ekonomi negara.
"Di sini, dasar untuk meningkatkan pendapatan dan kesamarataan peluang supaya M40 dan B40 mempunyai peluang yang baik untuk meningkatkan daya saing mereka," katanya lagi.
Selain itu, beliau menambah jurang pendapatan akan semakin melebar susulan daripada ketidaksamaan dari sudut momentum pertumbuhan ekonomi.
Justeru, beliau menyarankan agar kerajaan dan majikan mewujudkan lebih banyak peluang kepada kumpulan terjejas untuk beralih ke bidang pekerjaan yang lain, berbeza daripada pengalaman dan latar pendidikan mereka.
"Tetapi apabila berpindah ke sektor yang lain, ia akan ada lompang dari sudut kemahiran dan pendidikan.
"Perkara itu yang sepatutnya diberikan perhatian kerana disebabkan persekitaran ekonomi, kita memang akan mencapai imuniti kelompok, tetapi disebabkan ketidakseimbangan pemulihan akan menyukarkan lagi proses pemulihan yang sama rata pada masa akan datang," katanya.
#pemulihan ekonomi #nilai ambang #M40 #B40 #bantuan kerajaan #peluang pekerjaan #Pendapatan M40 terjejas #Pelan Pemulihan Negara #PKP 3 0 #MCO 3 0 #berita hari ini #berita Malaysia
;