M'sia-China sasar lonjakan nilai dagangan dua hala US$160 bilion

Bernama
November 9, 2014 04:01 MYT
Datuk Seri Mustapa Mohamed tenang menjawab soalan wartawan ketika sidang media bersama wartawan Malaysia bersempena Sidang APEC - Foto Bernama
Malaysia-China yang telah menjalin hubungan kukuh sejak 40 tahun, menyasarkan lonjakan US$160 bilion nilai dagangan kedua-dua negara menjelang 2017 daripada US$400 bilion setahun pada masa ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata angka itu merupakan sasaran pertama Jawatankuasa Khas Pemantauan, yang ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 4 Nov lalu, bagi menggabungkan semua agensi di bawah kementerian untuk penyelarasan dan pemantauan aktiviti ekonomi dengan China.
Penubuhan jawatankuasa berkenaan yang merupakan inisiatif yang bermatlamat memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-China, diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini semasa sambutan ulang tahun ke-40 hubungan Kuala Lumpur-Beijing, Mei lalu.
Mustapa berkata jawatankuasa khas itu yang sekali gus menjadi platform sehenti penyelarasan aktiviti perdagangan kedua-dua negara, akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan diselaraskan oleh kementeriannya (Miti).
"Mesyuarat pembentukan jawatankuasa itu di Kuala Lumpur pada Selasa lalu dipengerusikan oleh saya sendiri, manakala Utusan Khas Perdana Menteri Ke China, Tan Sri Ong Ka Ting sebagai timbalan pengerusi," katanya.
Kesungguhan Malaysia dalam menyelaras dan memantau aktiviti dan hubungan ekonomi dengan China dibuktikan apabila Najib sendiri bakal mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan, katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
"Kita akan cuba dapatkan perdana menteri untuk mempengerusikan mesyuarat itu tahun depan. Seperti yang dimaklumkan, ketika berada di sini (ketika ulang tahun ke-40), beliau (Najib) membuat keputusan sendiri untuk mempengerusikan, menyelaraskan kesemua platform perhubungan China dan Malaysia, merangkumi ekonomi, kewangan, pelancongan dan sebagainya," kata Mustapa.
Mustapa berada di sini sejak kelmarin bagi menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri APEC (AMM) sempena sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) China 2014 di sini.
Menurut Mustapa selain Miti, antara agensi yang terlibat dalam jawatankuasa khas itu ialah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Beliau berkata turut terlibat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan kerajaan-kerajaan negeri.
"Jawatankuasa khas tersebut selain memantau dan menyelaras aktiviti ekonomi, akan turut menjadi forum perkongsian strategik komprehensif perdagangan kedua-dua negara seperti yang diilhamkan oleh Perdana Menteri," katanya.
Menurutnya kesungguhan Malaysia dalam memantapkan penyelarasan dan pemantauan ekonomi kedua-dua negara membuktikan betapa pentingnya hubungan dengan China kepada Malaysia.
Sementara itu, perdana menteri dijadual tiba di sini malam ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat ke-22 Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM), selama dua hari bermula Isnin (esok)
#China #ekonomi #Malaysia #Mustapa Mohamed #perdagangan