LYC Healthcare kembangkan portfolio penjagaan kesihatan
Dagang News
Oktober 4, 2022 05:15 MYT
Oktober 4, 2022 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: LYC Healthcare Bhd. mengembangan penawaran portfolio penjagaan kesihatannya setelah melengkapkan pengambilalihan klinik estetik perubatan, pusat kecantikan dan kesihatan serta tiga klinik pergigian di bawah jenama KL Dental.
Menerusi 60% anak syarikat milik tidak langsungnya LYC Beauty & Wellness Sdn. Bhd., kumpulan kini mempunyai 100% kepentingan dalam Tao Global Ventures Sdn. Bhd., yang memiliki dan mengendalikan klinik estetik perubatan serta pusat kecantikan dan kesihatan yang terletak di Bandar Sri Damansara dikenali sebagai Klinik Dr D dan iBody by Dr D yang diperoleh dengan harga RM4 juta.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LYC, David Sui Diong Hoe berkata, pengambilalihan itu adalah sejajar dengan pelan strategik kumpulan untuk mengembangkan portfolio dalam industri penjagaan kesihatan dan kesejahteraan.
Katanya, ia didorong oleh populasi yang semakin meningkat, permintaan untuk perubatan estetik dan perkhidmatan pergigian.
"Doktor pengasas akan kekal sebagai pemegang saham dan terus bekerja di klinik ini, yang akan bersama-sama menyelaraskan kepentingan dalam mengembangkan perniagaan.
"Kami akan memanfaatkan rekod prestasi mereka yang terbukti dan keupayaan serta hubungan kukuh yang dibina dengan pesakit dalam mengembangkan jejak pasaran kami merentasi lokasi baharu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pengambilalihan itu dijangka meningkatkan pendapatan dan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan LYC.
Malah, pengambilalihan Tao Global memberi jaminan keuntungan tahunan selama dua tahun sebanyak RM500,000 untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 dan 31 Mac 2025.
Tiga klinik pergigian itu mencatatkan keuntungan agregat selepas cukai sebanyak RM500,000 bagi tempoh kewangan 12 bulan berakhir 31 Disember 2021. - DagangNews.com