LTdL 2023 : De Kleijn catat kemenangan sekali lagi

Bernama
September 28, 2023 17:57 MYT
Arvid De Kleijn menjuarai perlumbaan LTdL Malaysia 2023 peringkat keenam dari Karak ke Melaka sejauh 174.5 kilometer hari ini. - Gambar/ Bernama
MELAKA: Pelumba Tudor Pro Cycling Team Arvid De Kleijn merangkul kemenangan peringkat kali kedua, pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 selepas mengungguli peringkat keenam dari Karak ke Melaka, sejauh 174.5 kilometer (km), hari ini.
Pelumba Belanda yang memenangi Peringkat Pertama, Sabtu lepas, berjaya melepasi saingan sengit daripada kelompok utama untuk melintasi garisan penamat, dengan catatan masa 4 jam 08 minit 19 saat dikuti pelumba Human Powered Health Sasha Weemaes dan pelumba Astana Qazaqstan Team Gleb Syritsa.
Komisar perlumbaan memberikan 10 pelumba terbaik catatan yang sama - masa 4:08.19s, selepas kesemua mereka menamatkan pelumbaan secara kelompok.
"Terbaik, ia merupakan usaha berpasukan yang baik pada ketika kami berhadapan kesukaran untuk bergerak ke hadapan. Namun kami berjaya lakukannya tepat pada masanya, dengan dapat mendahului seperti itu, ia suatu yang luar biasa dan saya berjaya menamatkannya," katanya.
Kejayaan pelumba berusia 29 tahun itu, sekali gus mengekalkan dominasinya untuk terus menyarung Jersi Jingga (Raja Pecut) dengan mengumpul 45 mata.
Dalam pada itu, perlumbaan Peringkat Keenam tadi turut menyaksikan tiada sebarang pergerakan terhadap perebutan tiga lagi jersi utama LTdL 2023.
Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan, kekal disarung pelumba EF Education-Easypost Simon Carr, dengan jumlah pungutan masa 23:33.29s, biarpun hanya menamatkan saingan di tempat ke-55 hari ini.
Rakan sepasukan De Kleijn, Simon Pellaud mengekalkan Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit, sementara pelumba Kazakhstan, Vadim Pronskiy (Astana Qazaqstan Team) mengekalkan Jersi Putih, selaku pelumba terbaik Asia, untuk peringkat kedua berturut-turut.
Esok, perlumbaan Peringkat Ketujuh meliputi jarak sejauh 123.8km, dari Muar ke Seremban menyediakan laluan kurang mencabar, dengan hanya tiga zon pecutan di Umbai, Cheng dan Linggi.
-- BERNAMA
#LTdL 2023 #Tudor Pro Cycling Team #Arvid de Kleijn #peringkat keenam
;