LTAT yakin mampu struktur semula Boustead dalam tiga tahun
Najib Aroff
Mac 15, 2023 08:30 MYT
Mac 15, 2023 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yakin mampu menyusun semula kewangan syarikat Boustead dalam tempoh masa tiga tahun, jika usaha penswastaan berjaya dilaksanakan, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman.
“Kami mahu lakukan perubahan dalam tempoh masa tiga tahun. Apabila kami menswastakan (Boustead Holdings), kami akan hadir dengan pelan rasionalisasi penuh hutang dan menyusun semula kumpulan itu, memulakan aktiviti mencipta nilai, apakah jenis gabungan dan pengambailalihan (M&As), apakah jenis pelupusan pelaburan yang diperlukan.
“Kami akan memulakan strategi 2023 hingga 2025 untuk Boustead,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.
Ahmad Nazim berkata pendedahan besar pelaburan LTAT dalam Boustead menyebabkan dana persaraan itu sukar untuk menikmati pulangan dividen sebenar.
“Jika Boustead terus disenarai, nilai syarikat itu ditetapkan pada sekitar 60 hingga 80 sen namun kos pelaburan kami jauh lebih tinggi dari nilai itu.
“Justeru kami berdepada risiko rosot nilai kami tidak menyelesaikan iau ini dan langkah menswastakan (Boustead) akan membolehkan kami menetapkan nilai aset berdasarkan asset bersih Boustead, tanpa pengaruh pasaran,” katanya.
Ahmad Nazim berkata Kumpulan Boustead mempunyai liabiliti dan pinjaman terkumpul sekitar Rm7 bilion dengan sejumlah RM1.6 bilion harus dibayar tahun depan.
“Jika Boustead terus disenarai, kita akan berdepan kesukaran untuk menyelesaikan hutang ini.
“Jadi lebih baik ia diswastakan supaya satu pelan rasionalisasi dapat dilaksanakan untuk mencipta nilai,” katanya.
LTAT sebelum ini menawarkan 85.5 sen sesaham melibatkan nilai RM703.22 juta untuk pembelian baki pegangan 40.48 peratus Boustead Holdings Berhad.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan pada Isnin menyifarkan tawaran itu adil kepada nilai saham Boustead adalah sekitar 65.5 sen sesaham.
Penstrukturan Pharmaniaga
Sementara itu Ahmad Nazim berkata proses penswastaan itu juga bagi membolehkan usaha memulihkan Kembali kerugian yang ditanggung oleh cabang farmaseutikal Boustead, Pharmaniaga Berhad.
Pharmaniaga berdepan rosot nilai RM553 juta susulan vaksin COVID-19 yang tidak terjual sekaligus mengheret syarikat itu ke dalam kancah klasifikasi PN17.
“Kita perlu laksanakan pelan regularisasi untuk memenuhi tuntutan PN17 dalam tempoh enam hingga 12 bulan.
“Kita juga akan memberikan tumpuan kepada memperbaiki imbangan tunai dan sudah tentu rosot nilai syarikat itu kini adalah negatif.
“Disebabkan ia negatif maka wujud keperluan untuk menyuntik dana baharu bagi membawa syarikat itu ke paras positif,” katanya sambil menambah suntikan dana itu adalah sebahagian perancangan membawa Pharmaniaga keluar dari status PN17.
Pada 14 Mac Ketua Pegawai Eksekutif Pharmaniaga, Datuk Zulkarinain Md Eusope mengumumkan perletakan jawatannya.
Serentak itu satu jawatankuasa eksekutif interim diwujudkan melibatkan pengarah bukan bebas bukan eksekutif Ahmad Shhredzuan Mohd Shariff.