LTAT perkenal struktur baharu berdasarkan gaji sara hidup
Dagang News
Oktober 18, 2022 12:45 MYT
Oktober 18, 2022 12:45 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan struktur gaji baharu berdasarkan gaji sara hidup kepada kakitangannya.
LTAT dalam satu kenyataan berkata, struktur baharu ini merangkumi langkah-langkah kewangan khusus untuk membantu kakitangan yang terkesan akibat tekanan kos sara hidup semasa yang diburukkan lagi oleh persekitaran ekonomi luaran.
Menurutnya, langkah tersebut diluluskan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein termasuk pelarasan skala gaji bagi membantu LTAT menjadi organisasi yang berdaya saing.
"Ia dibuat berdasarkan kadar pasaran untuk menarik bakat yang lebih berkualiti dan berkeupayaan untuk memberi nilai tambah kepada transformasi LTAT menjadi sebuah dana persaraan anggota angkatan tentera yang profesional.
"Struktur gaji yang diperkemaskan dengan pelarasan gaji sara hidup yang relevan akan dapat membantu menangani kenaikan kos sara hidup. Sebagai contoh, kadar gaji asas minima dinaikkan sebanyak 43%, yang akan meningkatkan jumlah pendapatan kasar bulanan minima termasuk elaun gaji sara hidup sekurang-kurangnya kepada RM2,700.
"Kakitangan juga akan menikmati pelarasan gaji pada kadar 10% bagi Eksekutif Kanan ke atas dan 12% bagi peringkat Eksekutif dan Bukan Eksekutif berdasarkan skala gaji yang baharu yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2021," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Hishammuddin atas perhatian dan kelulusan yang telah diberikan dan ini adalah bukti keprihatinan LTAT dalam menjaga kebajikan setiap ahli dalam keluarga LTAT.
“Struktur gaji baharu ini adalah selaras dengan saranan kerajaan untuk melaksanakan pembayaran gaji pada paras yang wajar berdasarkan kepada kajian pasaran semasa, struktur kos LTAT serta selaras dengan beberapa perbincangan yang telah dijalankan di antara pihak pengurusan dan kakitangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini," katanya.
Nazim berkata, LTAT telah mengadakan pertemuan dengan kakitangan untuk mendapatkan pandangan mereka dan akan meneruskan usaha untuk memperkemaskan lagi gaji kakitangan secara progresif.
Menurutnya lagi, langkah-langkah baharu ini diharapkan akan dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi kakitangan bagi memenuhi tanggungjawab LTAT untuk memberikan pulangan yang mampan dan berdaya saing kepada Anggota Tentera walaupun dalam persekitaran pelaburan yang mencabar.
"Pihak pengurusan yakin bahawa seluruh keluarga LTAT akan terus bekerjasama untuk memberi sokongan dan komitmen sepenuhnya demi kecemerlangan dan kejayaan transformasi LTAT dan memastikan kesejahteraan anggota tentera terpelihara," katanya. - DagangNews.com