LTAT ambil alih pegangan saham Boustead Holdings Berhad

Astro Awani
Jun 12, 2023 19:57 MYT
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan pengambilalihan syarikat Boustead Holdings Berhad (BHB) dengan pegangan saham berjumlah kira-kira 97.63 peratus. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan pengambilalihan syarikat Boustead Holdings Berhad (BHB) dengan pegangan saham berjumlah kira-kira 97.63 peratus.
Jumlah pegangan saham itu membenarkan BHB dinyahsenaraikan dan menggunakan peruntukan Pengambilalihan Wajib bagi baki saham, lantas menjadikannya anak syarikat milik penuh LTAT.
Menurut Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman, penswastaan BHB menandakan titik permulaan baharu dan melambangkan detik bersejarah bagi LTAT.
"Tindakan korporat ini merupakan batu asas kepada perjalanan transformasi LTAT yang amat penting untuk kejayaan pelan pengimbangan semula portfolio yang ditunjangi oleh Rangka Kerja Perumpukan Strategik (SAA).
"Dengan kejayaan ini, kami percaya bahawa nilai komersil BHB akan dibuka, dan menyerlahkan potensi sepenuhnya bagi meningkatkan Aset Di Bawah Pengurusan kami, yang akhirnya memberikan pulangan yang mampan kepada pencarum kami iaitu anggota Angkatan Tentera," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, BHB akan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities bagi mengeluarkan status penyenaraiannya daripada Senarai Rasmi Bursa Securities, selaras dengan perenggan 16.07 Keperluan Penyenaraian.
BHB yang telah diseneraikan di Bursa Malaysia pada tahun 1961 telah berkembang kepada sektor utama dalam ekonomi Malaysia termasuk perladangan, hartanah dan perindustrian, farmaseutikal, industri berat serta perdagangan, kewangan dan pelaburan.
Mengulas lanjut, Nazim berkata tindakan seterusnya adalah untuk meningkatkan usaha penciptaan nilai dengan melaksanakan strategi penjajaran yang lebih baik di antara LTAT dengan semua peringkat di dalam Kumpulan.
"Model milikan penuh tersebut membolehkan LTAT menggunakan budi bicara sepenuhnya dan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai kesulitan yang dihadapi oleh konglomerat tersebut dengan lebih cepat.
"Kami berazam untuk melaraskan semula BHB sepertimana objektif pelaksanaan penswastaan ini,” katanya lagi.
#LTAT #ambil alih #Boustead Holdings Berhad #pegangan saham
;