Lotte Chemical Titan catat untung RM1.06 bilion FY21
Dagang News
Januari 28, 2022 08:47 MYT
Januari 28, 2022 08:47 MYT
KUALA LUMPUR: Lotte Chemical Titan Holding Bhd. merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.06 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), melonjak 7 kali ganda daripada RM154 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Pada masa sama, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat hampir 100% kepada RM1.65 bilion daripada RM830 juta bagi tahun kewangan sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia pada Khamis.
Dalam tempoh tersebut, keuntungan operasi juga meningkat dengan ketara lebih 300% kepada RM1.1 bilion, daripada RM272 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.
Peningkatan pendapatan yang ketara disokong hasil jualan kukuh sebanyak RM9.8 bilion yang direkodkan pada 2021, daripada RM6.9 bilion tahun sebelumnya.
Pada masa sama, kumpulan turut menjana aliran tunai operasi yang kukuh berjumlah hampir RM1.2 bilion bagi tahun kewangan itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lotte Chemical Titan, Park Hyun Chul menyifatkan ia satu pencapaian yang cemerlang di sebalik cabaran persekitaran perniagaan ekoran pandemik COVID-19 yang masih berterusan sepanjang 2021.
Katanya, prestasi perniagaan bertambah baik dengan ketara disebabkan terutamanya sebaran margin produk utama yang jauh lebih tinggi pada tahun lalu, disokong harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi.
"Melangkah ke masa hadapan, kumpulan akan terus menumpukan kepada inisiatif pengoptimuman prestasi operasi dan kewangan dalam menghadapi persekitaran luaran yang tidak menentu dan sentiasa berubah.
"Kami akan sentiasa berwaspada dan menerima peluang pertambahan nilai bagi memacu pertumbuhan di samping kekal teguh untuk memberi tumpuan kepada strategi pertumbuhan utama ke arah menjadi syarikat petrokimia utama di rantau Asia Tenggara," jelasnya.
Pada masa sama, beliau juga optimis dan berhati-hati terhadap prospek pasaran petrokimia dengan beberapa faktor yang mengimbangi mempengaruhi sektor tersebut.
Ini kerana katanya, sektor petrokimia bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi, ia berkemungkinan akan disokong oleh pemulihan ekonomi global yang berterusan yang diunjurkan untuk 2022.
"Namun begitu, kemunculan varian Omicron baru-baru ini yang merebak di seluruh dunia perlu dipantau dengan teliti.
"Oleh itu, kami menjangkakan ketidaktentuan akan kekal untuk sektor petrokimia pada tahun ini," jelasnya.
Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021, Lotte Chemical Titan merekodkan untung bersih sebanyak RM186.84 juta berbanding RM151.16 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan turut meningkat kepada RM2.68 bilion daripada RM1.92 bilion. - DagangNews.com