Lonjakan FDI diluluskan beri isyarat keyakinan pelabur asing - Azmin
Bernama
September 13, 2021 13:31 MYT
September 13, 2021 13:31 MYT
KUALA LUMPUR: Lonjakan bagi pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan Malaysia bagi separuh pertama 2021 yang menokok 223.1 peratus tahun ke tahun memaparkan isyarat keyakinan pelabur asing terhadap iklim ekonomi dan ekosistem perniagaan negara yang stabil dan kondusif.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata prestasi kukuh dan mengagumkan itu adalah petanda baik kepada laluan Malaysia ke arah pemulihan ekonomi yang rancak dan mampan.
"Prestasi luar biasa ini turut memaparkan bahawa strategi Malaysia untuk menempatkan negara sebagai destinasi pelaburan menarik dan hab rantaian bekalan di ASEAN, khususnya bagi operasi pembuatan, menunjukkan hasil yang positif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam tempoh ini, FDI memacu prestasi kukuh dan bertenaga sektor pembuatan, mencatatkan RM58.2 bilion pelaburan diluluskan. Sementara itu, sumber domestik menyumbang lebihan pelaburan diluluskan dalam sektor ini iaitu RM8.7 bilion.
Dari segi jumlah pelaburan diluluskan, Malaysia mencatatkan RM107.5 bilion FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, meraih lonjakan besar berjumlah 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata pelaburan itu tercapai di tengah-tengah landskap ekonomi global yang amat mencabar, melibatkan 2,111 projek dan dijangka menjana 44,994 peluang pekerjaan di negara ini.
"Dengan memanfaatkan kemajuan yang positif dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), penambahbaikan keadaan kesihatan awam secara keseluruhan dan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat, Malaysia terus menarik pelaburan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi, disokong keupayaan dan kebolehan kita dalam menyediakan pekerja berkemahiran tinggi dan bersedia menggunakan teknologi maju untuk nilai tambah industri," katanya.
Seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), beliau berkata, Malaysia melaksanakan lebih banyak projek berintensif modal secara konsisten selain projek-projek yang menyokong agenda pembangunan negara, selaras dengan matlamat Alam sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Mohamed Azmin berkata, ini dicerminkan oleh peningkatan jumlah projek berintensif modal yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Menurutnya, selain itu wujud keutamaan untuk mencipta peluang pekerjaan pelbagai kemahiran kepada rakyat.
Dalam hal ini, Mohamed Azmin berkata, sebanyak 367 projek pembuatan diluluskan yang bernilai RM66.9 bilion dalam separuh pertama 2021 akan mewujudkan 32,220 peluang pekerjaan membabitkan pelbagai jawatan, sekali gus memacu laluan ke arah pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran.
"Ini merangkumi 1,367 jawatan dalam pengurusan dan 4,031 bagi profesional teknikal seperti jurutera dalam bidang elektrik dan elektronik, mekanik, kimia dan bidang-bidang lain, mencerminkan peralihan rantaian nilai yang lebih tinggi dalam sektor pembuatan.
"Projek pembuatan diluluskan turut memerlukan 4,144 pekerja mahir," katanya.
Sementara itu, pelaburan domestik menerajui sektor perkhidmatan dan utama berjumlah RM45 bilion atau 41.9 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam tempoh enam bulan.
Dari sudut strategik NIA, Mohamed Azmin berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan terus melaksanakan pelaburan berkualiti tinggi pada masa akan datang untuk mewujudkan nilai kepada negara dan rakyat.
Katanya langkah itu bukan sahaja untuk mengekalkan pekerjaan, malah mewujudkan pekerjaan bernilai tambah tinggi.
"Kami komited ke arah menempatkan Malaysia sebagai rakan unggul bagi pelabur di rantau ini, menambah baik ekonomi kita yang kompleks dan merangsang pertumbuhan jangka panjang di Malaysia menerusi aliran pelaburan berkualiti yang mampan dalam bidang pertumbuhan baharu dan kompleks," kata Mohamed Azmin.
-- BERNAMA