Loke gesa syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang berkembang di luar pasaran tradisional
Bernama
November 2, 2023 05:50 MYT
November 2, 2023 05:50 MYT
SEPANG: Syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang di Malaysia perlu terus memikirkan cara untuk mengembangkan perniagaan mereka melangkaui pasaran tradisional agar kekal cekap dan kompetitif, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata peserta industri diharapkan giat mencari kesambungan baharu di antara Malaysia dengan wilayah lain selain China, Korea Selatan dan Turki.
"Saya yakin syarikat penerbangan sedang berusaha meninjau banyak destinasi yang terbuka di negara lain pada masa ini," katanya semasa berucap pada sesi CAPA Think Tank: A meeting of the mind yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Penerbangan Asia dan Anugerah Kemampanan Centre for Aviation (CAPA) 2023 di sini, semalam.
Beliau berkata usaha itu amat penting memandangkan peningkatan semula ketibaan pelancong di hampir semua pasaran serantau berada pada tahap 70 hingga 80 peratus daripada tahap pra-COVID, kecuali China.
"Saya berpandangan China masih mencabar kerana pembukaan pasaran China yang perlahan, dan dari segi ketibaan pelancong China, kita belum mencatatkan tahap (ketibaan mereka) seperti yang dicatatkan sebelum 2019.
"Semasa tempoh pra-2019, kita merekodkan ketibaan tiga juta pelancong China di Malaysia, dan sekarang ini, kita mungkin (mencatatkan) hanya lebih satu juta," katanya.
Loke berkata ketibaan pelancong yang rendah mungkin menunjukkan pertumbuhan lembap di pasaran itu berbanding wilayah lain.
Terdahulu, Loke berkata kerajaan mengenal pasti keperluan untuk kerjasama, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan serta insentif untuk meningkatkan pengeluaran dan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF).
"Kementerian Pengangkutan pada masa ini sedang membangunkan pelan hala tuju penyahkarbonan penerbangan, oleh itu kerjasama dengan industri penerbangan akan menjadi penting," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Beliau berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi juga telah ditugaskan supaya membangunkan insentif pelaburan untuk pengeluaran dan infrastruktur SAF, di samping rangka kerja komprehensif untuk mandat campuran jangka panjang.
"Kami komited terhadap pendekatan holistik untuk kemampanan penerbangan, termasuk kecekapan dan kepakaran teknikal, penambahbaikan teknologi dan langkah berasaskan pasaran," katanya.
-- BERNAMA