Lokasi strategik, kepelbagaian pasaran hartanah Malaysia tarik pembeli asing - Juwai IQI

Bernama
Jun 18, 2024 04:30 MYT
Bagi suku pertama 2024, penyusutan nilai ringgit telah menarik pelabur hartanah global dengan pembeli dari China merupakan paling aktif. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Minat pembeli asing terhadap hartanah kediaman Malaysia didorong oleh lokasinya yang strategik, projek infrastruktur baharu, iklim pelaburan menggalakkan, hasil tinggi dan kepelbagaian dalam pasaran hartanah, kata Juwai IQI.
Menurut Laporan Trend Pembelian Hartanah Kediaman Rentas Sempadan Asia Pasifik bagi suku pertama 2024, penyusutan nilai ringgit juga telah menarik pelabur hartanah global dengan pembeli dari China merupakan paling aktif dalam kalangan kohort Asia.
"Ringgit kekal lebih kukuh berbanding yuan China. Yuan kehilangan satu peratus berbanding ringgit sejak dua tahun lepas," kata laporan itu.
Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Hong Kong dan Singapura.
Dolar Hong Kong meningkat 10 peratus dan dolar Singapura sebanyak 13 peratus sepanjang dua tahun lalu berbanding ringgit.
"Pada rumah berharga RM2.0 juta, peningkatan mata wang itu menawarkan pembeli dari negara tersebut bersamaan dengan diskaun bernilai sekurang-kurangnya RM200,000," katanya.
Sementara itu, Malaysia memainkan peranan penting dalam pasaran hartanah merentas sempadan sebagai destinasi menarik untuk pelabur asing dan menjadi sumber pembeli yang aktif di pasaran lain.
Pelabur Malaysia adalah pembeli ketiga paling aktif hartanah luar negara dalam kalangan lokasi Asia, dengan destinasi utama ialah Thailand, Australia dan Vietnam.
"Faktor utama dalam membeli hartanah di luar negara adalah pertumbuhan ekonomi dan kelas pertengahan yang semakin meningkat, ia mempunyai pendapatan boleh guna, membolehkan lebih ramai individu melabur di peringkat antarabangsa," katanya.
Juwai IQI berkata rakyat Malaysia berusaha untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka dengan memperoleh hartanah di luar negara dan banyak melabur di negara yang mempunyai sistem pendidikan berkualiti tinggi dan kemudahan gaya hidup unggul seperti Australia dan Amerika Syarikat.
-- BERNAMA
#pelaburan #ringgit #hartanah #Malaysia #pembeli asing
;