The Loaf berhasrat tembusi pasaran Singapura, Hong Kong dan Jepun

Irwan Muhammad Zain
Julai 10, 2013 08:37 MYT
The Loaf berhasrat meluaskan perniagaan mereka ke Singapura, Hong Kong dan Jepun pada masa akan datang.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata buat masa ini The Loaf akan menumpukan perhatian untuk menambah bilangan rangkaian kedainya di Malaysia.
Katanya sebagai kafe kedai roti gaya Jepun pertama di Malaysia, The Loaf sentiasa berusaha untuk memuaskan hati pelanggan mereka dan akan memastikan kualiti dikekalkan.
"Menawarkan produk baru dan memperluaskan rangkaian produk yang sedia ada adalah satu keunikan The Loaf dan saya percaya ini membezakan kami sebagai peneraju pasaran.
"The Loaf juga sentiasa berusaha menyediakan produk yang lazat dan bertaraf dunia supaya dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia," katanya ketika merasmikan cawangan ke 11 The Loaf di Sogo petang Selasa.
Selain merasmikan cawangan baru, Tun Mahathir juga turut melancarkan dua produk baru The Loaf iaitu Creamy Ampan atau roti kacang merah berkrim dan kek keju yang diberi nama Uhu! hu!.
Pengarah Urusan The Loaf, Jiro Suzuki menjelaskan pihaknya secara berterusan berusaha memperkenalkan produk baru yang lazat.
"Perkara ini membuatkan pelanggan setia kami terus mengunjungi The Loaf kerana mereka tahu akan sentiasa ada sesuatu yang baru untuk dirasai apabila mereka melawat salah satu daripada kedai-kedai kami," katanya.
Di majlis itu juga pengurusan The Loaf juga turut meraikan sambutan hari lahir Tun Dr Mahathir yang ke 88 sebaik saja upacara perasmian disempurnakan.
Produk The Loaf dibuat oleh pakar pembuat roti Jepun menggunakan bahan-bahan yang berkualiti kebanyakannya diimport dari Jepun dan Eropah.
#Mahathir #roti #The Loaf
;