Lima varieti strawberi premium Korea Selatan kini dalam pasaran Malaysia

Bernama
Disember 14, 2023 17:37 MYT
Varieti kuemsil, sulhyang, king's berry, vitaberry, dan snowberry kini boleh didapatkan di pasaran tempatan. - Gambar hiasan/Pexels
KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, lima varieti strawberi premium Korea Selatan diperkenalkan secara rasmi di pasaran Malaysia sejak semalam (Rabu) iaitu, kuemsil, sulhyang, king's berry, vitaberry, dan snowberry.
Majlis berkenaan bukan sahaja bertujuan menarik minat pemain industri utama tempatan tetapi juga untuk memupuk kesedaran dan keseronokan dalam kalangan pengguna Malaysia.
Pengarah Urusan Pusat Perdagangan Agro Korea di Kuala Lumpur, Jang Jae Hyung berkata acara bersejarah ini yang bukan sahaja memboleh strawberi premium Korea Selatan menembusi pasaran Malaysia, tetapi juga sebagai kesinambungan misi untuk mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
"Malaysia sentiasa menjadi rakan dagangan penting Korea Selatan dan kami yakin bahawa pengenalan strawberi premium ini bukan sahaja akan memenuhi selera rakyat Malaysia tetapi juga sebagai penghargaan terhadap produk pertanian Korea yang pelbagai dan luar biasa," katanya.
Menurut kenyataan itu, majlis berkenaan juga menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Integrasi Eksport Strawberi Korea (K-Berry), Euro-Atlantic Sdn Bhd, dan Khaishen Trading Sdn Bhd, sekali gus membuktikan usaha dan kerjasama dalam menerajui pengembangan strawberi premium Korea Selatan di pasaran Malaysia.
Setiap lima varieti strawberi premium ini mempunyai kualiti yang berbeza berbanding buah standard di pasaran, kuemsil misalnya mempunyai rasa yang sangat manis dan diperkaya dengan nuansa lembut buah pic yang meningkatkan profil rasanya.
Sulhyang pula mempunyai banyak air, pulpa lembut, dan berbentuk kon cerah serta berwarna merah terang, sementara king's berry mempunyai saiz dua kali ganda lebih besar berbanding strawberi biasa.
Vitaberry pula sesuai dengan namanya mempunyai kandungan vitamin C, melebihi 30 peratus berbanding strawberi biasa di pasaran sementara snowberry, luarannya berwarna pink lembut dan di dalamnya mempunyai tekstur putih lembut.
-- BERNAMA
#strawberi #Korea Selatan #pasaran malaysia #strawberi premium
;