LHDN sasar kutipan cukai tertangguh RM1 bilion tahun ini
Nurulhana Ismail
Februari 16, 2016 20:39 MYT
Februari 16, 2016 20:39 MYT
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan untuk meraih kutipan cukai tertangguh dan penalti melebihi RM1 bilion tahun ini.
Ia melalui kempen terbaharu LHDN yang memberikan potongan penalti kepada dua kesalahan cukai iaitu tidak menghantar borang penyata dan menyatakan maklumat salah dalam taksiran.
Kempen yang bermula sejak tahun lepas berjaya mengutip RM1 bilion cukai tertunggak dan penalti pada 2015.
Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata LHDN juga akan melipatgandakan penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan cukai.
Selain itu, pihaknya akan turut membantu pembayar cukai yang terjejas akibat cabaran ekonomi semasa.
"Kita tahu tahun ini adalah tahun sukar, bukan sahaja bagi Malaysia, namun di seluruh dunia ekoran kejatuhan harga minyak.
"Oleh itu kita akan membantu para pembayar cukai dalam pembayaran cukai mereka dan kerana itulah kita memberikan kelonggaran kepada mereka namun mereka perlulah mengikut peraturan yang telah ditetapkan."
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Percukaian 2016, Isu Serta Cabarannya anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) di Subang Jaya.
LHDN baru-baru ini mengumumkan pengurangan penalti terhadap pembayar cukai yang membuat pengakuan secara sukarela bagi tempoh antara 1 Mac hingga 15 Disember 2016.
Pengurangan itu bagi pembayar cukai yang masih belum mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) atau Borang Nyata Petroleum (BNP) bagi tahun kebelakang.
Mengulas laporan bahawa antara kelompok pengelak cukai yang menjadi sasaran termasuk peguam, doktor dan artis, Mohd Shukor berkata pihaknya sentiasa memantau golongan profesional dari pelbagai latar belakang dan telah pun menyenaraikan mereka yang mengelak cukai daripada golongan berkenaan.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa sasaran kutipan cukai sebanyak RM132.56 bilion menjelang akhir 2016 akan dapat dicapai.