LHDN jangka sasaran kutipan cukai RM185 bilion dapat dicapai

Bernama
November 1, 2023 16:25 MYT
Ahmad Maslan berkata sasaran kutipan cukai itu mampu dicapai kerana pelbagai usaha gigih dan inovasi yang dilaksanakan LHDN. - Gambar/ Bernama
CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dijangka mampu mencapai sasaran kutipan cukai berjumlah RM185.02 bilion untuk 2023, dengan mengambil kira kutipan cukai sehingga 30 Okt yang telah mencapai RM151.49 bilion, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata sasaran kutipan cukai itu mampu dicapai kerana pelbagai usaha gigih dan inovasi yang dilaksanakan LHDN, namun, idea kreatif dan inovatif sentiasa diperlukan bagi memastikan tahap kecekapan, ketelusan serta keberkesanan sistem percukaian LHDN dapat dipertingkatkan.
"Saya doakan dalam tempoh berbaki dua bulan ini, LHDN terus berprestasi secara optimum dan kemuncaknya memberikan kesan signifikan serta sejarah baharu kepada pencapaian hasil negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi dan Integriti LHDN 2023 di sini hari ini.
Tahun lepas, LHDN melakar pencapaian terbaik dalam sejarah dengan kutipan hasil sebanyak RM175 bilion berbanding RM140 bilion pada 2021.
Mengenai kredit e-tunai RM100, Ahmad berkata rakyat berusia 21 tahun ke atas serta berpendapatan tahunan RM100,000 dan ke bawah akan menerima inisiatif itu pada Disember ini, yang dianggarkan melibatkan 10 juta penerima golongan B40 dan M40 serta dana sebanyak RM1 bilion.
"Inisiatif ini merupakan satu contoh apabila kita kutip cukai lebih, maka kita dapat kembalikan kepada rakyat.. dapat lebih, kita bagi lebih," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lepas mengumumkan bantuan e-tunai RM100 kepada rakyat Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas, susulan kejayaan dan kesan besar program e-tunai kepada masyarakat.
-- BERNAMA
#LHDN #Ahmad Maslan #kutipan cukai #Tahun 2023
;