Lebihan penampan modal sistem perbankan kukuh, cecah RM142 bilion pada julai 2023 - Bank Negara

Bernama
Ogos 30, 2023 16:54 MYT
Sistem perbankan negara mencatat lebihan penampan modal yang kukuh sebanyak RM142 bilion pada Julai 2023, kata Bank Negara Malaysia (BNM). - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sistem perbankan negara mencatat lebihan penampan modal yang kukuh sebanyak RM142 bilion pada Julai 2023, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam kenyataan Sorotan Bulanan Julai 2023 hari ini, bank pusat itu berkata sistem perbankan tersebut juga terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan tekanan dan menyediakan kredit bagi menyokong kegiatan ekonomi.
Pada masa sama, sistem perbankan berkenaan terus mencatat penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat nisbah perlindungan mudah tunai pada 154.8 peratus daripada 154.3 peratus pada Jun lepas.
"Agregat nisbah pinjaman kepada dana juga sebahagian besarnya kekal stabil pada 82.0 peratus (Jun 2023: 81.6 peratus)," katanya.
Mengulas pasaran kewangan domestik, BNM berkata perkembangan itu didorong terutamanya oleh jangkaan pasaran kewangan bahawa kitaran pengetatan dasar monetari oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) hampir berakhir selepas kenaikan kadar dasar pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada Julai.
Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 3.8 peratus pada akhir Julai yang disokong oleh pertumbuhan pinjaman berterusan dalam segmen isi rumah.
Menurut bank pusat itu, pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul bagaimanapun berkembang pada kadar lebih perlahan sebanyak 0.2 peratus berbanding 0.7 peratus pada Jun 2023, disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang menyederhana dalam kalangan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Pertumbuhan pinjaman terkumpul kepada PKS masih menggalakkan (6.7 peratus; Jun 2023: 6.4 peratus). Selain itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul pula terus meningkat (5.2 peratus; Jun 2023: 4.9 peratus) apabila pertumbuhan terbitan bon mengatasi pertumbuhan penebusannya," katanya.
Selain itu, pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul adalah mampan pada 5.2 peratus (Jun 2023: 5.1 peratus) dengan pertumbuhan stabil dicatatkan pada kebanyakan tujuan pinjaman.
Keadaan itu, kata BNM, mencerminkan pertumbuhan lebih tinggi dalam permohonan pinjaman isi rumah, terutama bagi tujuan pembelian rumah, kereta dan kegunaan peribadi.
Merujuk prestasi ringgit, bank pusat itu berkata, nilai ringgit meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding dolar AS yang lebih tinggi daripada purata serantau sebanyak 1.9 peratus.
Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun pula susut sedikit sebanyak 1 mata asas.
"Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 6.0 peratus berbanding purata serantau pada 3.5 peratus," katanya.
Dalam pada itu, inflasi keseluruhan turun kepada 2.0 peratus (Jun 2023: 2.4 peratus) dan sejajar dengan kenaikan harga bulanan yang mereda.
Penurunan tersebut didorong oleh inflasi teras lebih rendah pada 2.8 peratus (Jun 2023: 3.1 peratus) yang terutamanya disebabkan oleh inflasi lebih rendah bagi makanan di luar rumah serta perkhidmatan mengikut budi bicara terpilih, kata bank pusat itu.
-- BERNAMA
#lebihan penampan modal #Sistem perbankan Malaysia #Bank Negara Malaysia #pasaran kewangan domestik #Rizab Persekutuan Amerika Syarikat
;