Lebihan dagangan Malaysia terus sokong pertumbuhan walaupun eksport berkurangan - CGS-CIMB

Bernama
April 20, 2023 17:14 MYT
Walaupun kesan kelembapan ekonomi global masih tidak menentu, pertumbuhan masih dijangkakan kerana disokong oleh pembukaan semula China. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lebihan dagangan yang besar akan terus menyokong pertumbuhan Malaysia tahun ini walaupun eksport dijangkakan menyusut pada bulan-bulan akan datang, kata CGS-CIMB Securities Sdn Bhd.
Ahli ekonomi Nazmi Idrus berkata firma itu kekal positif terhadap prospek imbangan perdagangan tahun penuh 2023 Malaysia.
"Asas yang tinggi mungkin terus memainkan peranan dalam prestasi perdagangan nominal, mengekalkan had pertumbuhan eksport selain disebabkan permintaan global yang agak lemah.
"Bagaimanapun, lebihan dagangan kekal besar dan kami percaya ini akan terus menyokong unjuran akaun semasa sebanyak 2.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2023 (2022: 2.6 peratus)," katanya dalam satu nota hari ini.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK dari tahun ke tahun sebanyak 4.4 peratus bagi 2023.
Kenanga Research pula menjangkakan pertumbuhan eksport kekal sederhana pada bulan-bulan akan datang, dengan kebarangkalian tinggi ianya menyusut ke dalam penguncupan disebabkan normalisasi aktiviti ekonomi, harga komoditi yang agak rendah dan kesan penurunan asas yang dicatatkan semasa tahun lepas.
Berlatarbelakangkan ini, ia mengekalkan unjuran KDNK suku pertama 2023 tidak berubah pada 5.1 peratus (suku keempat 2022: 7.0 peratus), dengan pertumbuhan tahun penuh dianggarkan pada 4.7 peratus (2022: 8.7 peratus).
"Walaupun kesan kelembapan ekonomi global masih tidak menentu, kami masih menjangkakan pertumbuhan akan disokong oleh pembukaan semula China.
"Di peringkat domestik, pertumbuhan juga dijangka dipacu oleh permintaan domestik yang berdaya tahan berikutan kadar pengangguran yang lebih rendah, ketibaan pelancong dan pelaburan yang lebih tinggi serta penyambungan semula projek infrastruktur oleh kerajaan," katanya.
Semalam, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mendedahkan lebihan dagangan Malaysia melebar pada Mac 2023 kepada RM26.69 bilion berbanding Mac 2022, menandakan lebihan dagangan bulan ke-35 berturut-turut sejak Mei 2020 dan lebihan dagangan tertinggi pernah dicatatkan pada Mac.
Bagaimanapun, perdagangan berkurangan sebanyak 1.6 peratus kepada RM232.72 bilion manakala eksport merosot 1.4 peratus kepada RM129.71 bilion dan import lebih rendah sebanyak 1.8 peratus kepada RM103.01 bilion dari tahun ke tahun.
Kementerian itu menjelaskan lagi, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.5 peratus, 15.5 peratus, 11.1 peratus dan 36.4 peratus berbanding Februari 2023.
-- BERNAMA
#KDNK #pelaburan #pelancong #CGS Cimb
;