Lebih banyak platform pertukaran mata wang kripto dijangka dibenarkan untuk beroperasi

Hasimi Muhamad
November 26, 2019 14:18 MYT
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri (kiri) dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Luno, Marcus Swanepoel (kanan) ketika Majlis Peramian Semula platform Luno di ibu negara, hari ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjangkakan lebih banyak platform pertukaran mata wang kripto akan mendapat kelulusan penuh untuk beroperasi di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata kelulusan penuh yang diberikan Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia kepada Luno Malaysia Sdn Bhd membuka peluang kepada revolusi teknologi digital.
Jelasnya, perkembangan sihat dalam ekosistem tersebut telah memberikan alternatif kepada pengguna.
"Perkembangan teknologi tersebut semakin berkembang di peringkat global dan teknologi seperti ini boleh memberi pelanggan membuat pertukaran nilai dalam kalangan mereka.
“Hari ini kami sangat teruja dengan kehadiran Luno ini, iaitu platform pertukaran mata wang kripto di Malaysia. Platform ini penting kerana ia membolehkan anda menukar mata wang fizikal kepada mata wang digital.
“Kami juga sangat teruja kerana ia telah mendapat kelulusan dan syarikat seperti Luno perlu bertanggungjawab untuk memastikan pelanggannya dilindungi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Semula Platform Luno di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, ketika ini beberapa platform pertukaran mata wang kripto sedang mengadakan perbincangan dan sesi dialog dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan kelulusan penuh untuk beroperasi.
Justeru, pihaknya komited memberikan pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat bagi meningkatkan kepercayaan terhadap syarikat pengendali digital.
“Pendidikan dan kesedaran merupakan sebahagian besar (kepada operasi penuh syarikat mata wang kripto) dan ekonomi digital. Namun, dalam konteks teknologi baharu seperti blockchain (teknologi rantaian blok) dan pertukaran mata wang kripto, sudah tentu kita akan meneruskan usaha mendidik," tambahnya.
Semasa Minggu Teknologi Digital Malaysia yang dianjurkan pada Jun lalu, terdapat sesi khusus berkaitan dengan blockchain,” katanya.
Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Luno, Marcus Swanepoel berkata Malaysia merupakan antara pasaran yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam penggunaan mata wang kripto.
Ujarnya, pengguna di negara ini sedar dan mengetahui mengenai kepentingan aset digital termasuk penggunaan Bitcoin.
“Jika anda melihat kepada pelaburan, ini yang pelanggan cari, dimana segelintir mereka mencari emas (dan Bitcoin) sama dengan pelaburan emas.
“Segelintir orang melihat ia sebagai komuniti, yang mana mereka boleh membuat urusan jual beli dan dagangan. Jadi, ia merupakan satu spektrum yang sangat luas dan dari sudut transaksi, pelanggan menggunakan perkhidmatan ini untuk membuat pemindahan wang dari sebuah negara ke negara lain,” katanya.
Terdahulu, Luno mula beroperasi di negara ini pada 2015 sebelum menjadi pertukaran aset digital terbesar di Malaysia menjelang 2017.
Platform pertukaran mata wang kripto itu mendapat kelulusan penuh oleh SC Malaysia pada Oktober lalu, dan merekodkan nilai dagangan kira-kira RM2.5 juta aset digital dalam tempoh 10 hari selepas pelancaran semula pada akhir Oktober.
#Bitcoin #blockchain #ekonomi #MDEC #pelaburan #pendidikan #Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia #Revolusi Digital Teknologi #Surina Shukri
;