Lebih banyak institusi kewangan Islam diperlukan di Bursa, kata Abdul Wahid

Bernama
Mei 2, 2017 08:34 MYT
Penyenaraian lebih banyak institusi kewangan Islam di Bursa Malaysia diperlukan bagi merangsang industri pengurusan dana dan kekayaan Islam pada masa depan.
Penyenaraian lebih banyak institusi kewangan Islam di Bursa Malaysia diperlukan bagi merangsang industri pengurusan dana dan kekayaan Islam pada masa depan.
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, ia juga akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab global bagi dana seumpama itu.
Beliau berkata, daripada 672 sekuriti patuh syariah yang disenarai di bursa tempatan, hanya dua adalah daripada sektor kewangan, iaitu BIMB Hodings Bhd dan Syarikat Takaful Malaysia Bhd.
"Oleh itu sektor kewangan mempuyai jumlah sekuriti tersenarai patuh syariah paling rendah. Ia juga meletakkan peratusan sekuriti patuh syariah di bawah sektor tersebut pada hanya enam peratus," katanya pada Forum Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam Antarabangsa di sini, hari ini.
Abdul Wahid berkata, kekurangan institusi kewangan Islam yang disenarai boleh memberi cabaran besar kepada industri tersebut, terutama kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti PNB, Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kerana mereka diharap untuk menawar dividen patuh syariah kepada pelabur Islam di Malaysia.
Berikutan itu, adalah mustahil menawarkan pulangan yang kompetitif jika GLIC perlu mengelak daripada melabur dalam sektor kewangan, kerana hanya terdapat enam peratus sekuriti patuh syariah disenarai di Bursa Malaysia, tambahnya.
Beliau juga mencadangkan tiga kemungkinan bagi meningkatkan lagi pertumbuhan industri berkenaan.
Pertama ialah dengan pembentukan kumpulan perbankan universal Islam tersenarai, selain daripada BIMB Holdings, yang boleh diterajui Malaysia Building Society Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Malaysia Industrial Development Finance Bhd atau satu daripada bank Islam milik asing yang lebih besar.
Penyenaraian sebahagian institusi kewangan pembangunan Islam seperti Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat adalah pilihan kedua.
Pendekatan ketiga ialah mewujudkan penyenaraian berasingan ''Islam'''' atau ''i-saham'''' dalam kalangan kumpulan perbankan yang mempunyai aktiviti kewangan Islam yang agak besar seperti Maybank, CIMB dan RHB.
"Contohnya, sehingga 25 peratus keuntungan Maybank diperoleh daripada kewangan Islam.
"Oleh kerana Maybank Islamic adalah anak syarikat dan bahagian penting Maybank, kita boleh menetap, katakan 20 peratus saham Maybank sebagai saham Islam melalui pengaturan pemindahan aset berdasarkan perlindungan," tambahnya.
Abdul Wahid berkata, berdasarkan permodalan pasaran Maybank sebanyak RM97 bilion, inisiatif ini akan mewujudkan kelas baharu instrumen pelaburan patuh syariah bernilai RM19 bilion.
"Sudah pasti ini akan memerlukan banyak perundingan dengan Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia dan Bursa Malaysia. Dengan fikiran positif dalam menyelesaikan sesuatu masalah, saya percaya kita boleh menghasilkan penyelesaian yang betul," katanya pada sidang akhbar kemudiannya.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #kewangan Islam #Tan Sri Abdul Wahid Omar