Lebih 99 peratus pemegang saham Sime Darby lulus pengambilalihan UMW

Najib Aroff
November 17, 2023 10:30 MYT
JEFFRI SALIM: Jika proses itu berjaya, kami dijangka menjadi pemegang saham tunggal UMW menjelang akhir Februari atau awal Mac. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 99.7 peratus pemegang saham Sime Darby Bhd memberikan kelulusan untuk syarikat itu mengambil alih 61.2 peratus kepentingan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam UMW Holdings Bhd.
Konglomerat itu seterusnya akan melancarkan Tawaran Am Mandatori (MGO) untuk memperoleh baki saham bagi mendapatkan pemilikan penuh UMW, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Datuk Jeffri Salim Davidson.
“Pemegang saham mengundi secara luar biasa untuk menyokong pengambilalihan ini, dan untuk tempoh masa 10 hari, kita mempunyai syarat asas untuk dilengkapkan sebelum kita boleh memuktamadkan perjanjian pengambilalihan ini menjelang akhir November.
“Kami akan memegang sejumlah 61 peratus UMW. Kami akan meneruskan fasa kedua untuk melaksanakan MGO untuk memilik baki 38 peratus.
“Proses itu dijangka berjaya dilaksanakan menjelang akhir Februari. Dan jika ia berjaya, kami dijangka menjadi pemegang saham tunggal UMW menjelang akhir Februari atau awal Mac,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.
Pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan itu pada Khamis, pemegang saham turut mengundi untuk meluluskan resolusi yang dicadangkan bagi membolehkan Sime Darby bergerak ke hadapan dengan pemerolehan strategik berkenaan.
Dengan kelulusan daripada pemegang saham, Sime Darby yakin dapat memenuhi semua syarat dalam urus niaga itu.
Para pemegang saham UMW akan menerima dokumen tawaran yang menyatakan butiran MGO dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Pemerolehan 61.2 peratus kepentingan dalam UMW dijangka selesai pada akhir bulan ini, manakala bagi MGO pula, dengan mengandaikan tempoh penerimaan dilanjutkan sepenuhnya, akan ditutup pada Februari 2024.
Pada 24 Ogos lalu, Sime Darby mengumumkan memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat untuk mengambil alih 61.2 peratus kepentingan PNB dalam UMW pada harga RM3.57 bilion, bertujuan meningkatkan dan mengukuhkan lagi kehadirannya dalam sektor automotif Malaysia.
#Sime Darby #Tawaran Am Mandatori MGO #UMW #Jeffri Salim Davidson
;