Lebih 25,000 unit kediaman, komersil dibina sejak 50 tahun - Naza TTDI

Ehsan A Marisah
Februari 1, 2023 09:20 MYT
Datuk Jasmy Ismail berkata, pihaknya akan terus memanfaat pengalaman dan pencapaian syarikat dalam membina perbandaran terkemuka berskala besar, projek premium dan mercu tanda. - Foto Naza TTDI
KUALA LUMPUR: Naza TTDI Sdn Bhd (Naza TTDI), cabang pembangunan hartanah Kumpulan Naza berjaya menyiapkan lebih 25,000 unit kediaman dan komersil sejak ditubuhkan pada 1973.
Pengerusinya, Datuk Jasmy Ismail berkata, pihaknya akan terus memanfaat pengalaman dan pencapaian syarikat dalam membina perbandaran terkemuka berskala besar, projek premium dan mercu tanda.
Kata Jasmy, syarikat juga kekal fokus pada pembangunan yang mampu meningkatkan kualiti hidup dan membawa konsep gaya hidup yang berkisar kepada komponen 'Hidup, Bekerja, Belajar dan Beriadah'.
“Walaupun dalam tempoh ini, kami telah memanfaat banyak peluang, kami turut menghadapi pelbagai cabaran.
“Bagaimanapun, kami tetap teguh dalam fokus kami untuk menawarkan unit kediaman dan komersial yang menekankan penawaran nilai maksimum, inovasi dan kualiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-50 dan Malam Apresiasi Media di sini, pada Selasa.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Naza TTDI, Daniel Lim.
Mengulas lanjut, beliau menambah, syarikat turut menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan komuniti utama di Lembah Klang melalui pembangunan dan projeknya.
“Rentetan pencapaian Naza TTDI termasuk menyiapkan perbandaran terkenal berskala besar, dan projek premium dan mercu tanda seperti Taman Tun Dr Ismail (TTDI); TTDI Alam Impian; Platinum Park dan Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
“Antara lain, sebagai tambahan kepada pembangunan premium, Naza TTDI juga membangunkan perumahan kos sederhana dan rendah,” katanya.
Katanya, aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga diambil kira sebagai usaha ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menerusi operasi serta projek pembangunannya.
“Pembangunan kami menerapkan pelbagai ciri hijau dan mesra alam di samping menyediakan kediaman yang menekankan aspek gaya hidup seimbang, sihat dan berkomunitu dengan mengambil kira komponen 'Hidup, Bekerja, Belajar dan Beriadah'.
“Kami mempunyai rangka kerja hijau dalam pembangunan kai dan menggabungkannya dengan beberapa sistem penarafan yang diiktiraf industri seperti ‘Leadership in Energy and Environmental Design’ (LEED); Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan ‘Green Real Estate’ (GreenRE),” ujarnya.
Sementara itu, katanya sempena sambutan jubli emas syarikat, Naza TTDI melancarkan kempen Keharmonian Kehidupan dengan pelbagai aktiviti dirancang sepanjang enam bulan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.
Katanya, ia termasuk tiga cabutan bertuah kepada pembeli hartanahnya yang dibuka kepada pembeli unit dalam projek terpilih iaitu, MET1 Residences, Sentralis Sovo, Plaza TTDI, TTDI Ascencia, Trio Permai – Soho, Trio Permai – Kedai, Trio Permai – Kedai dan TTDI Za’aba.
“Pembeli yang berminat boleh merujuk laman web Naza TTDI mengenai terma dan syarat cabutan bertuah ini.
“Ini termasuk peluang memenangi hadiah bernilai lebih RM500,000 termasuk Mercedes Benz EQA 250 dan Suzuki Swift Sport yang akan dijalankan dalam tiga cabutan pada Mei, Julai, dan cabutan bertuah utama pada Ogos 2023,” ujarnya lagi.
#Naza TTDI #hartanah #perbandaran #Jasmy Ismail
;