Lebih AS$100 bilion dagangan untuk Malaysia di bawah BRI

Bernama
Julai 25, 2024 21:27 MYT
Lin Shiguang berkata China dan Malaysia menikmati kepercayaan politik yang mendalam, hubungan ekonomi dan perdagangan yang mesra serta pencapaian yang membuahkan hasil. - Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia muncul sebagai satu daripada tiga rakan perdagangan utama dalam kalangan 63 negara yang menyertai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China, dengan jumlah dagangan melebihi AS$100 bilion pada separuh pertama tahun ini.
Menteri Kaunselor Kedutaan China di Malaysia, Lin Shiguang berkata China dan Malaysia adalah rakan kongsi kukuh dalam kerjasama menang-menang kerana kedua-dua negara menikmati kepercayaan politik yang mendalam, hubungan ekonomi dan perdagangan yang mesra serta pencapaian yang membuahkan hasil dalam kerjasama praktikal.
"Menurut data terkini, pada separuh pertama tahun ini, antara 63 negara yang bersama-sama membina BRI, tiga negara mempunyai jumlah perdagangan dengan China melebihi AS$100 bilion, termasuk Malaysia.
"Jumlah dagangan dua hala mencecah AS$100.233 bilion, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 10.6 peratus," katanya pada "Simposium Sidang Pleno Ketiga Jawatankuasa Pusat ke-20 Parti Komunis China (PKC)" di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Simposium yang dianjurkan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia-China dan Kelab Sahabat Laluan Sutera Malaysia itu membincangkan hasil dan implikasi Sidang Pleno Ketiga di Beijing yang berakhir pada 18 Julai.
Simposium itu telah menghimpunkan pemimpin dan cendekiawan terkemuka untuk meneroka masa depan hubungan China-Malaysia dan peluang bersama yang timbul daripada laluan pemodenan China.
Lin berkata China dan Malaysia adalah wakil penting negara membangun dan ekonomi sedang pesat membangun di Asia, berkongsi konsep dan nilai pembangunan yang sama, serta merupakan rakan pengembara dalam laluan pembangunan.
"Laluan China menuju pemodenan telah mendapat perhatian, kajian, dan sokongan ramai rakan Malaysia.
BRI, Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global, dan Inisiatif Tamadun Global yang dicadangkan oleh China telah diiktiraf oleh semua sektor di Malaysia.
"Saya percaya bahawa laluan China ke arah pemodenan membawa peluang, keyakinan dan hasil menang-menang kepada dunia. Pembangunan bersama China dan Malaysia akan menyuntik tenaga positif yang lebih stabil ke rantau ini dan ekonomi dunia," katanya.
Menyentuh Sidang Pleno Ketiga Jawatankuasa Pusat ke-20 PKC, Lin berkata sesi itu menekankan bahawa matlamat keseluruhan memperdalam pembaharuan secara komprehensif adalah untuk "terus memperbaiki dan membangunkan sistem sosialis dengan ciri-ciri China dan menggalakkan pemodenan sistem tadbir urus negara dan kapasiti tadbir urus."
"Kita dapat melihat dengan jelas sekali lagi bahawa keterbukaan adalah simbol tersendiri bagi laluan pemodenan China. Bagi dunia, sidang pleno ini terus menghantar isyarat jelas untuk meluaskan keterbukaan peringkat tinggi kepada dunia luar.
"Ia bukan sahaja menjadi 'jendela' penting untuk memahami China dengan tepat, pembangunan China yang berkualiti tinggi dan keterbukaan peringkat tinggi ke dunia luar, tetapi ia juga membolehkan dunia luar mengalami peluang besar yang dibawa dengan mempromosikan pemodenan gaya China secara global," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Sahabat Laluan Sutera Malaysia Ng Chin Long berkata simposium itu bertujuan merapatkan jurang pemahaman dan memberikan pandangan berharga mengenai hasil mesyuarat peringkat tinggi berkenaan.
"Acara ini bukan sekadar latihan akademik, ia adalah platform untuk dialog, pemahaman dan kerjasama.
"Dengan menghimpunkan cendekiawan, badan pemikir, pemimpin politik dan pemimpin muda dari Malaysia, kami berhasrat untuk memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang dasar China yang sedang berkembang dan implikasinya terhadap rantau kita. Pengetahuan ini akan memperkasakan kita untuk mengemudi perubahan dan memanfaatkan peluang yang timbul, mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara kita," katanya.
-- BERNAMA
#Malaysia #rakan perdagangan #Inisiatif Jalur dan Laluan #China #BRI #Lin Shiguang
;