Lebih 10 peratus pekerja Tesla di seluruh dunia diberhentikan
Agensi
April 16, 2024 09:15 MYT
April 16, 2024 09:15 MYT
Berlin: Tesla memberhentikan lebih 10 peratus tenaga kerja globalnya akibat penurunan jualan dan perang harga yang meningkat untuk kenderaan elektrik (EV).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk dalam satu kenyataan di platform X berkata, penyusunan dan penyelarasan semula syarikat adalah diperlukan setiap lima tahun untuk mempersiapkan syarikat bagi fasa pertumbuhan seterusnya.
Musk sebelum ini telah mengumumkan pemecatan pekerja pada 2022, selepas memberitahu eksekutifnya bahawa dia mempunyai "perasaan yang sangat buruk" mengenai ekonomi.
Namun, jumlah pekerja Tesla telah meningkat dari kira-kira 100,000 pada akhir 2021 menjadi lebih 140,000 pada akhir 2023.
Antara yang diberhentikan ialah dua pemimpin kanan, Ketua Pembangunan Bateri, Drew Baglino dan Naib Presiden Dasar Awam, Rohan Patel.
Baglino adalah veteran Tesla dan salah seorang daripada empat anggota, bersama dengan Musk, dalam pasukan kepimpinan yang disenaraikan di laman web hubungan pelabur syarikat.
Pemecatan ini susulan laporan eksklusif Reuters pada 5 April, menyatakan bahawa Tesla telah membatalkan pelancaran kereta murah yang telah lama dijanjikan, Model 2, yang dijangka akan menelan kos A$25,000.
Dalam pada itu, saham Tesla ditutup 5.6 peratus lebih rendah pada $161.48 pada Isnin.
Manakala saham pengeluar EV lain seperti Rivian Automotive, Lucid Group, dan VinFast Auto juga jatuh antara 2.4 peratus dan 9.4 peratus.
Tesla, yang sedang bersiap sedia memulakan jualan di India, pasaran kereta ketiga terbesar di dunia, tahun ini, mencatatkan margin keuntungan kasar sebanyak 17.6 peratus pada suku keempat, terendah dalam lebih empat tahun. - Agensi