Lazada diiktiraf majikan pilihan pada dua anugerah sumber manusia
Bernama
Disember 21, 2022 07:15 MYT
Disember 21, 2022 07:15 MYT
KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia terus mengorak kecemerlangan apabila menerima anugerah pada dua anugerah sumber manusia baru-baru ini iaitu HR Asia Awards 2022 dan GRADUAN Brand Awards 2022.
Lazada dalam kenyataan pada Rabu berkata Lazada Malaysia diiktiraf sebagai Tempat Terbaik untuk Bekerja di Asia 2022 bagi edisi Malaysia serta Pemenang Hadiah Utama Majikan Pilihan Malaysia 2022 dalam kategori industri peruncitan dan e-dagang di HR Asia Awards 2022.
Sementara itu bagi GRADUAN Brand Awards 2022, Lazada muncul naib johan Majikan Pilihan Malaysia 2022 bagi kategori keseluruhan.
Menurut syarikat itu anugerah tersebut mengiktiraf usaha Lazada Malaysia yang memfokuskan kepada pembangunan organisasi dan modal insan dengan memaparkan daya keterlibatan tinggi dalam kalangan pekerja serta kecemerlangan budaya tempat kerja.
"Ia membuktikan komitmen berterusan Lazada ke arah pelaburan yang mampu memupuk dan mempertingkatkan kemahiran bakat tempatan, di samping membangunkan kepelbagaian himpunan bakat, demi pertumbuhan bersepadu ekosistem digital di negara ini," menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Lazada Malaysia Azian Ahmad berkata Lazada bersyukur dan berbesar hati diiktiraf sebagai Majikan Pilihan dan Tempat Kerja Terbaik oleh organisasi dan penerbitan berprestij seperti GRADUAN dan HR Asia.
"Para pekerja kami yang dikenali sebagai Lazadian adalah 'tulang belakang' kewujudan kami di Malaysia; mereka adalah daya pemacu yang merangsang pertumbuhan organisasi, kejayaan perniagaan, serta pencapaian memberangsangkan sepanjang 10 tahun ini," katanya.
Lantaran itu, beliau berkata Lazada akan terus membuat pelaburan ke arah membangunkan modal insan dan memperkembangkan himpunan bakat kerana percaya mereka mampu merealisasikan tujuan, impak dan inspirasi syarikat itu.
"Anugerah ini didedikasikan kepada semua Lazadian yang bekerja tanpa jemu demi membawakan pengalaman membeli-belah dalam talian yang mengujakan serta penuh kelainan kepada para pelanggan," ujar Azian.
Beliau berkata sebahagian inisiatif pembangunan modal insan Lazada ialah mengenal pasti dan memperkasa bakat dan pemimpin berciri 'future-fit' yang mampu menambah nilai kepada pertumbuhan kerjaya masing-masing serta komuniti setempat.
Menurut Azian, Program 'Forward Leaders' Lazada telah direka untuk menarik lebih ramai bakat daripada pelbagai latar belakang selain mewujudkan kepelbagaian dan keterangkuman di seluruh organisasi.
Katanya, program tersebut turut dibangunkan bagi memupuk semangat keusahawanan berteraskan kemahiran digital mantap selain menyokong peningkatan kemahiran secara berterusan, sekali gus memperkasa para pekerja untuk terus cemerlang dan mencapai potensi terbaik mereka.
-- BERNAMA