Lawatan PM ke Peru buka potensi eksport RM1.24 bilion
Harits Asyraf Hasnan
November 16, 2024 11:46 MYT
November 16, 2024 11:46 MYT
LIMA (Peru): Lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Peru membuka peluang eksport bernilai RM1.24 bilion, terutamanya dalam sektor berpotensi tinggi hasil inisiatif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Anwar menyatakan bahawa syarikat-syarikat Peru menunjukkan minat terhadap import bahan binaan seperti keluli dan kaca, peralatan serta produk perubatan, minyak sawit, bahan kimia selain produk makanan serta minuman dari Malaysia.
“Kita juga akan mengambil tindakan susulan mengenai kerjasama logistik, terutamanya berkaitan pelabuhan, yang sama penting bagi memudahkan eksport antara kedua-dua negara,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di penghujung Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang berakhir hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut memaklumkan bahawa beliau telah bertemu dengan 22 pemimpin industri dari 17 syarikat Peru yang terlibat dalam pelbagai sektor, termasuk farmaseutikal, peralatan dan produk perubatan, bahan binaan, produk kimia, makanan kesihatan, serta barangan pengguna.
Sehingga kini, syarikat-syarikat tersebut telah mengimport barangan bernilai RM435.27 juta dari Malaysi dan kerajaan katanya akan terus berusaha untuk meningkatkan jumlah eksport tersebut.
Dalam aspek pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengenal pasti tujuh syarikat pembuatan terkemuka dari Peru yang berminat untuk melabur di Malaysia, khususnya dalam sektor pemprosesan makanan, perkhidmatan logistik bersepadu, dan farmaseutikal.
“Tindakan susulan akan diambil untuk merealisasikan semua hasrat ini secepat mungkin,” tegas Anwar.
Sebanyak 16 syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari Malaysia turut menyertai lawatan rasmi ini.
Mereka juga menghadiri sesi meja bulat bersama pemimpin industri Peru untuk meneroka peluang kerjasama perniagaan di mana inisiatif ini dijangka dapat mengukuhkan hubungan perdagangan serta memperluaskan pelaburan dua hala antara Malaysia dan Peru.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa menteri ekonomi dari Singapura, Jepun, dan New Zealand di sela-sela mesyuarat APEC.
Perbincangan bersama Grace Fu dari Singapura menumpukan pada persiapan Pemukiman Tahunan Pemimpin Singapura-Malaysia pada 8-9 Dis 2024 serta keutamaan Malaysia untuk Kepengerusian ASEAN 2025.
“Dengan Jepun, melalui pertemuan bersama Muto Yoji, Menteri Ekonomi, Perdagangan, dan Industri Jepun, saya membincangkan persiapan Malaysia untuk Ekspo Osaka 2025 sebagai platform memperkukuh hubungan ekonomi kedua-dua negara,” kata Tengku Zafrul.
Perbincangan itu turut melibatkan kerjasama dalam sektor tenaga dan hijau, yang merupakan antara fokus utama Jepun.
Sementara itu, pertemuan dengan Menteri Perdagangan New Zealand, Todd McClay, membincangkan perjanjian perdagangan bebas serantau dan dua hala, situasi geopolitik semasa, serta pengiktirafan bersama pensijilan halal.