Laporan Tesla batal pengeluaran di Asia Tenggara mungkin keputusan komersial - MITI

Bernama
Ogos 8, 2024 05:15 MYT
Portal berita Thailand The Nation melaporkan Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Laporan media Thailand mengenai hasrat Tesla Inc (Tesla) membatalkan rancangan pengeluarannya di Asia Tenggara mungkin satu keputusan komersial operasinya di peringkat global, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Jurucakap MITI berkata tindakan pengeluar kenderaan elektrik (EV) global itu bagaimanapun tidak mencerminkan pembaharuan perindustrian dan penambahbaikan landskap pelaburan yang diusahakan oleh MITI serta agensinya sejak Disember 2022.
Beliau juga menegaskan bahawa laporan media itu bukan kenyataan rasmi Tesla dan hanya berdasarkan ulasan daripada sumber yang identitinya dirahsiakan.
"Sebarang pengesahan laporan itu perlu dibuat oleh Tesla," katanya kepada media pada Khamis.
Bernama juga berusaha mendapatkan kenyataan daripada Tesla, namun tidak berjaya setakat ini.
Semalam, portal berita dalam talian Thailand The Nation memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan itu, melaporkan Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.
Laporan itu menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand tetapi di peringkat dunia.
"Tesla tidak meneruskan (rancangan) di Malaysia, Indonesia atau lokasi lain kecuali di China, Amerika Syarikat dan Jerman," lapor portal berita itu.
-- BERNAMA
#Tesla #batal pengeluaran #Asia Tenggara #MITI #Tengku Zafrul