Laporan prestasi kewangan Felda dibentang 20 Februari
Astro Awani
Februari 11, 2017 12:28 MYT
Februari 11, 2017 12:28 MYT
Laporan prestasi kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) termasuk penjualan asetnya di luar negara akan dibentangkan pada masyuarat bersama lembaga pengarah badan itu pada 20 Februari ini di Kuala Lumpur.
Felda akan memaklumkan sebarang keputusan hasil masyuarat itu terutama kepada peneroka yang mahu melihat perubahan badan itu.
Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata fungsi utama Felda adalah untuk menguruskan dana supaya ada pulangan dan digunakan untuk pengoperasian untuk kesejahteraan peneroka.
Tegas Shahrir, penjualan aset Felda di luar negara itu tidak menjejaskan pengoperasian dan fungsi utama Felda, malah ia juga tidak menyebabkan badan itu muflis.
“Aset di luar negara itu adalah harta pelaburan Felda dan pulangannya kini dilihat tidak berbaloi.
“Sebab itu kita kena faham dan bezakan apa yang harta operasi dan apa itu harta pelaburan. Kalau kita melabur dalam saham Maybank dan bukan tujuan nak menguasai Maybank, maka kita jual saham itu bermaksud kita mencairkan harta.
“Kalau kita ada harta di London dan Bayswater, operasi Felda tidak terjejas pun dan tidak menyumbang kepada operasi Felda iaitu menjaga kesejahteraan peneroka. Jadi, kita jual itu tidak menjadikan Felda muflis dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program gotong-royong cegah wabak denggi di Larkin, johor.
Felda dilaporkan akan melaksanakan langkah penjualan asetnya di dalam dan luar negara secara agresif tahun ini, khususnya hotel dalam usaha menstabilkan aliran tunai, membiayai aktiviti lain serta memulihkan 'aset bermasalah' di bawah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Ia termasuk penjualan 35 juta pegangan saham Felda dalam Malayan Banking Bhd (Maybank) pada harga RM8.05 sesaham bernilai RM280 juta dan aset di London.