Laporan analisis kos faedah belum dikeluarkan - Mustapa
Bernama
November 4, 2015 20:10 MYT
November 4, 2015 20:10 MYT
Laporan Analisis Kos Faedah Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) masih belum dikeluarkan memandangkan teks draf perjanjian belum dimuktamadkan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
"Anda tidak boleh buat laporan analisis kos faedah apabila masih ada perkara yang belum dicapai. Kerajaan sedang mengusahakannya dan kami jangka ia dimuktamadkan dalam masa terdekat.
"Kami akan ambil masa kira-kira dua minggu untuk kaji laporan (sebaik teks lengkap) sebelum kami boleh kongsikan dengan orang ramai," katanya dalam sidang media pada hari kedua Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-11, di sini hari ini.
Menurut Mustapa, kerajaan sedang mengusahakan teks itu sejak beberapa tahun dan templet sudah tersedia, hanya menunggu sentuhan akhir.
"Ini adalah usaha yang dinamik, walaupun menteri-menteri telah menamatkan perbincangan. Ada beberapa isu teknikal dan tertangguh. Apabila semua perkara diselesaikan, ia akan dipamerkan kepada umum dan semua boleh akses perjanjian ini," katanya.
Beliau berkata Malaysia akan mempunyai masa yang banyak untuk berbincang mengenai TPPA.
"Tiga bulan satu jangka masa yang lama. Sebelum ini ada isu penting yang hanya dibahaskan dalam beberapa hari tetapi isu ini akan berada dalam domain awam selama tiga bulan, masa yang cukup untuk rakyat Malaysia memberi ulasan mereka.
"Justeru, ketelusan bukan satu isu," katanya.
Sebelum ini Mustapa dilapor berkata kerajaan menjangka TPPA dibentang di Parlimen dalam tempoh tiga bulan selepas sesi perbahasan bajet.