Lanjut tempoh moratorium: Jangan beri 'blanket approval' - MIDF

Harits Asyraf Hasnan
Jun 24, 2020 13:15 MYT
Charon Wardini berkata lanjutan moratorium itu tidak sepatutnya diberi secara kelulusan menyeluruh (blanket approval). - Foto Facebook MIDF Group
Cadangan untuk melanjutkan tempoh moratorium pinjaman untuk enam bulan lagi perlu dinilai dan diteliti semula.
Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata lanjutan moratorium itu tidak sepatutnya diberi secara kelulusan menyeluruh (blanket approval).
Sebaliknya, individu atau perniagaan yang telah pulih dan beroperasi seperti biasa perlu meneruskan bayaran pinjaman mereka.
"Saya tidak fikir kita perlu beri sekali lagi kelulusan menyeluruh. Saya tahu ia kenyataan yang berkepentingan kerana kami juga merupakan bank.
"Ia bukan idea yang bagus untuk memberi semua orang enam bulan lagi, terutama kelulusan menyeluruh selama enam bulan. Jika ada sesetengah perniagaan atau sektor yang perlu bantuan, saya rasa kita perlu sasarkan golongan tersebut.
"Tapi untuk memberi enam bulan kelulusan menyeluruh dilihat sebagai tidak wajar. Dalam tempoh enam bulan ini, jika separuh mampu bayar (pinjaman), mereka perlu terus membayar.
"Manakala yang tidak boleh bayar atau separuh daripadanya perlukan diskaun (boleh dipertimbang)," katanya di sini hari ini.
Charon berkata demikian pada sesi webinar anjuran MIDF yang membincangkan cabaran dan usaha menangani impak COVID-19 terhadap ekonomi dan perniagaan.
Tambahnya lagi, jika kelulusan menyeluruh diberikan untuk tempoh enam bulan lagi, ia akan memberi impak negatif kepada institusi perbankan di negara ini.
Sebelum ini, beberapa organisasi berteraskan rakyat seperti Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) termasuk pemimpin politik meminta kerajaan melanjutkan tempoh moratorium untuk enam bulan lagi bermula Oktober depan.
#bayaran pinjaman #Datuk Charon Wardini Mokhzani #Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia #lanjut tempoh moratorium #MEF #MIDF #moratorium pinjaman #MTUC #perbankan #Persekutuan Majikan Malaysia
;