Langkawi Port bekerjasama dengan CelcomDigi bagi pengurusan pelabuhan pintar
Bernama
Februari 11, 2023 11:20 MYT
Februari 11, 2023 11:20 MYT
ALOR SETAR: Langkawi Port Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CelcomDigi Bhd semalam sebagai sebahagian daripada inisiatif digitalisasi pelabuhan pintarnya.
Di bawah MoU itu, kedua-dua syarikat akan bekerjasama untuk meningkatkan kecemerlangan dan keselamatan operasi pelabuhan tersebut menerusi penggunaan penyelesaian keselamatan berasaskan kecerdasan buatan (ASAS).
ASAS membolehkan Langkawi Port menjalankan analisis kenderaan di kawasan jeti dan pintu masuk ke pelabuhan, selain mewujudkan kawalan sempadan digital pintar yang akan menyediakan paparan digital landskap pelabuhan bagi pengawasan umum menerusi penggunaan kamera 'geo-fencing' dan 'pan-tilt-zoom' (PTZ).
Kedua-dua syarikat itu juga akan meneroka bersama-sama peluang Internet Pelbagai Benda digital dalam pengkomputeran awan, keselamatan siber dan penyelesaian pengurusan pengunjung, antara lainnya.
MoU itu dimeterai oleh pengerusi Langkawi Port Nasaruddin Abdul Muttalib dan ketua pegawai perniagaan enterpris CelcomDigi Afizulazha Abdullah dalam satu majlis yang diadakan di Kuah, Langkawi, semalam.
Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Nasaruddin berkata usaha mentransformasikan Langkawi Port sebagai pelabuhan pintar telah menjadi satu keperluan kerana trafik dan penggunaan pelabuhan meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Memanfaatkan teknologi dan penyelesaian digital bagi menjamin, mengautomasikan dan mengoptimumkan operasi kami akan membantu memastikan kami terus dapat menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan kami.
"Kami gembira dapat meneruskan kerjasama dengan peneraju pasaran seperti CelcomDigi sebagai pendaya penyelesaian digital dan teknologi kami yang dipercayai, untuk menyokong komitmen kami menyediakan kepada pelanggan pintu masuk yang efisien ke Langkawi," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Afizulazha berkata CelcomDigi meneruskan sokongan untuk mengukuhkan kerjasama itu yang bermula pada 2019 apabila kedua-dua syarikat kali pertama berganding bahu meneroka use case (perisian) 5G bagi pengurusan pelabuhan pintar.
"Kami teruja untuk mencapai pencapaian penting ini bersama-sama daripada meneroka projek perintis hinggalah kepada melaksanakan konsep dan kami bersedia dengan pengalaman dan sumber untuk membantu memacu pertumbuhan digitalisasi Langkawi Port, memanfaatkan keupayaan CelcomDigi dalam inovasi dan mengukuhkan rangkaian.
"Kami berharap dapat merealisasikan lebih banyak nilai daripada perkongsian ini di samping menyokong usaha digitalisasi lebih banyak pelabuhan di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA