Langkah tingkat kutipan hasil perlu dimasukkan dalam pelan konsolidasi fiskal kerajaan

Bernama
Februari 4, 2023 08:00 MYT
Bank Dunia berkata kerajaan menjangka perbelanjaan bagi subsidi menyederhana sedikit kepada 2.3 peratus daripada KDNK.
KUALA LUMPUR: Pelan konsolidasi fiskal semasa kerajaan perlu memasukkan langkah meningkatkan kutipan hasil kerana hasil Malaysia dijangka terus merosot daripada 15 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2023 kepada purata 14.7 peratus dalam tempoh sederhana, kata Bank Dunia.
Menurut institusi yang berpangkalan di Washington DC itu, kerajaan perlu menangani penurunan berterusan kutipan hasil tersebut dan mencari sumber hasil baharu kerana paras hasil Malaysia masih rendah berbanding negara-negara seangkatannya.
"Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), yang sedang dirangka dan dimuktamadkan, perlu memasukkan pelan terperinci mengenai langkah-langkah untuk mempelbagaikan sumber hasil kerajaan.
"Pertimbangan juga perlu diberikan untuk menyelaraskan subsidi dan meluaskan asas cukai pendapatan peribadi serta memantapkan rangka kerja cukai penggunaan," katanya dalam laporan terkini World Bank Malaysia Economic Monitor bertajuk 'Expanding Malaysia's Digital Frontier' yang dilancarkan pada Jumaat.
Menurut laporan itu, strategi konsolidasi fiskal semasa menerusi pengurangan perbelanjaan adalah mencabar memandangkan perbelanjaan yang terhad ketika ini.
"Dari segi perbelanjaan, penjimatan mungkin boleh diperoleh daripada peralihan subisidi menyeluruh (blanketed), terutamanya dalam bahan api, kepada subsidi lebih bersasar. Bagaimanapun, bergantung kepada pengurangan perbelanjaan adalah suatu yang mencabar.
"Sebahagiannya, ia disebabkan oleh gabungan perbelanjaan bagi perbelanjaan struktur sudahpun berada di tahap yang tinggi; dan keduanya, komponen peralatan tulen lain seperti bekalan dan perkhidmatan berada dalam aliran menurun atau telahpun berada pada tahap rendah," katanya.
Bank Dunia berkata kerajaan menjangka perbelanjaan bagi subsidi menyederhana sedikit kepada 2.3 peratus daripada KDNK kerana harga minyak dunia dijangka menyusut tahun ini.
Ia juga berkata perbelanjaan terhad masih tinggi dan dijangka meningkat pada 2023. Pada masa depan, gabungan perbelanjaan bagi perbelanjaan struktur dijangka meningkat kepada 61 peratus daripada jumlah perbelanjaan kerajaan pada 2023.
"Peningkatan perbelanjaan ke atas item ini, beserta dengan penurunan hasil, terus mengekang fiskal kerajaan dan memberi cabaran kepada kemampanan fiskal bagi tempoh jangka panjang," katanya.
Sementara itu, hutang kerajaan kekal hampir kepada had statutorinya pada 65 peratus daripada KDNK.
"Setakat Jun 2022, hutang kerajaan persekutuan berada pada 61 peratus daripada KDNK dan hutang kerajaan persekutuan meningkat dengan ketara semasa pandemik," katanya sambil menambah kerajaan menjangka nisbah hutang berkanun berbanding KDNK meningkat kepada 63 peratus menjelang akhir 2023.
Selain itu, katanya, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini adalah langkah awal untuk menguruskan risiko permintaan yang berlebihan ke atas tekanan harga, mengimbangi risiko terhadap inflasi domestik dan pertumbuhan mampan.
"Dalam bon domestik, pasaran, aliran keluar portfolio telah menyumbang kepada hasil bon kerajaan tempatan yang lebih tinggi di semua tahap kematangan. Peningkatan hasil ini sebahagiannya turut disebabkan kenaikan OPR oleh BNM," katanya.
Bagaimanapun, menurut laporan itu, mudah tunai yang tinggi daripada pelabur institusi tempatan membantu mengimbangi kenaikan hasil bon.
Dari segi perbankan, katanya bahagian pinjaman perniagaan di bawah bantuan bayaran balik telah berkurangan sejak berakhirnya bantuan bayaran balik standard.
"Pada masa depan, institusi kewangan telah diberikan fleksibiliti untuk menyelesaikan isu bayaran balik berdasarkan setiap kes," katanya.
Dari segi pendigitalan, terdapat peningkatan ketara di Malaysia ketika pandemik, yang telah mempercepat pendigitalan dalam kalangan syarikat, pembayaran digital dan kemajuan pendigitalan dalam perkhidmatan kerajaan.
"Meskipun mencatatkan kemajuan besar, Malaysia masih berdepan cabaran dalam usaha ke arah pendigitalan yang lebih pesat seperti jurang digital," katanya.
Bank Dunia menyarankan supaya aspek dasar yang perlu menjadi keutamaan dalam bidang ini harus menangani peningkatan akses dan penggunaan infrastruktur digital dengan mengukuhkan rangka kerja yang membolehkan persaingan.
Ia bertujuan mengawal impak anti-persaingan susulan penggabungan dan pengambilalihan serta pelonggaran sekatan kemasukan asing dalam perkhidmatan telekomunikasi dan rangkaian.
"Dasar kedua yang (perlu) diutamakan adalah menggalakkan persekitaran yang kondusif kepada platform digital awam dan swasta.
"Menggalakkan penggunaan standard dan antara muka yang terbuka di samping memastikan standard dan sistem yang saling boleh kendali (akan) memastikan pertukaran maklumat dan komunikasi yang lancar bagi sektor awam dan swasta," katanya.
-- BERNAMA
#Bank Dunia #pelan konsolidasi fiskal #kutipan hasil #KDNK
;