Langkah-langkah campur tangan kerajaan bantu kekang inflasi - Ahli Ekonomi
Bernama
Ogos 29, 2022 05:00 MYT
Ogos 29, 2022 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Campur tangan kerajaan menerusi subsidi dan kawalan harga telah membantu mengekang inflasi di Malaysia yang tanpanya negara mungkin mencatatkan angka lebih tinggi berbanding inflasi keseluruhan 4.4 peratus pada Julai, kata ahli-ahli ekonomi.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pengajian Siswazah di i-CATS University College Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, banyak barang keperluan yang disenaraikan dalam kumpulan Indeks Harga Pengguna (IHP) seperti ayam, telur, gula, beras (jenis terpilih) dan minyak masak berada sama ada dalam senarai barang yang disubsidikan atau barangan kawalan menerusi langkah-langkah siling harga.
"Kebanyakan barang keperluan harian adalah barangan terkawal seperti beras dan gula. Campur tangan kerajaan banyak membantu inflasi kita berada dalam kawalan," katanya kepada Bernama.
Terdahulu pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan IHP Malaysia meningkat sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Manokaran Mottain berkata inflasi agregat 2.8 peratus setakat ini bagi tahun ini berada dalam unjuran Bank Negara Malaysia.
Bagi asas bulanan, inflasi meningkat 0.4 peratus pada Julai 2022 berbanding Jun 2022.
Berbanding negara-negara ASEAN lain seperti Indonesia dengan inflasi pada (+4.9 peratus), Filipina (+6.4 peratus), Singapura (+7.0) dan Thailand (+7.6 peratus), inflasi Malaysia dianggap sebagai rendah.
"Angka inflasi sebenar tidak mencerminkan situasi semasa kerana banyak barangan dalam kumpulan IHP adalah barangan kawalan dan barangan yang disubsidikan. Keseluruhannya, inflasi kita masih terkawal.
"Bagaimanapun, campur tangan oleh kerajaan dengan subsidi dan kawalan harga telah membantu kita mencatatkan peningkatan inflasi yang rendah," katanya.
Manokaran berkata kategori beras, roti dan bijirin lain meningkat sebanyak 5.5 peratus pada Julai berbanding 4.2 peratus pada Jun, yang mana campur tangan diperlukan untuk menjadikan makanan ruji lebih murah dan mampu dibeli rakyat.
"Mungkin kerajaan perlu duduk berbincang bersama-sama dengan pasar raya besar untuk meminta mereka mengurangkan harga jenama mereka sendiri.
"Pada masa ini saya fikir mereka ada berbuat demikian tetapi ia perlu diperluaskan kepada skop lebih meluas terutamanya barangan yang dibeli oleh kumpulan B40," jelasnya.
Mengenai prospek inflasi bagi tempoh separuh kedua 2022, MIDF Amanah Investment Bank Bhd percaya aliran menurun sederhana harga komoditi global mungkin mengurangkan tekanan inflasi makanan Malaysia.
Sebagai contoh, harga minyak sawit mentah Malaysia, antara lainnya, menyederhana daripada di atas paras RM6,000 setan metrik pada awal Jun 2022 kepada di bawah RM4,000 pada Julai 2022, katanya.
Bank pelaburan itu mengekalkan unjuran purata IHP tidak berubah pada +2.8 peratus bagi 2022.
-- BERNAMA