Langkah kawal harga rumah beri impak positif
Bernama
November 26, 2015 15:08 MYT
November 26, 2015 15:08 MYT
Langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam mengawal harga rumah dan mengelakkan spekulasi harga rumah telah menunjukkan kesan positif, demikian menurut Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Menurut kementerian itu dalam satu jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat, berdasarkan maklumat daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) pada suku kedua tahun ini, perubahan indeks harga rumah dicatat pada tahap 5.9 peratus dengan purata harga rumah pada RM305,075 berbanding suku tahun kedua 2014 iaitu pada 8.4 peratus dengan purata harga rumah RM302,716.
Ini menunjukkan bahawa penurunan sebanyak 2.5 peratus dalam indeks harga rumah di negara ini, kata kementerian itu menjawab soalan Datuk Ar Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu perancangan kerajaan dari segi polisi untuk membolehkan harga rumah turun kepada kadar mampu milik.
Menurut kementerian itu, sejak tahun 2013, kerajaan melaksanakan pelbagai insiatif dan insentif termasuk dasar-dasar fiskal yang strategik bagi menstabilkan semula harga rumah di pasaran dan mengawal spekulasi.
Ia bagi memastikan kadar pemilikan rumah meningkat untuk rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana dengan meningkatkan bekalan rumah dalam pasaran, kata kementerian itu.