Langkah Indonesia tarik balik sekatan eksport minyak sawit tidak jejas industri sawit negara

Bernama
Mei 24, 2022 05:15 MYT
Datuk Willie Anak Mongin (dua, kiri) melihat tandan kelapa sawit yang siap dikisar untuk menghasilkan kertas semasa meninjau kilang Nextgreen Global Berhad (NGGB). - Foto BERNAMA
PEKAN: Langkah Indonesia menarik balik sekatan eksport minyak sawit bermula semalam tidak menjejaskan industri sawit di negara ini, menurut Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin.
Beliau berkata, ini berikutan Malaysia mempunyai pembeli komoditi itu yang tersendiri selain minyak sawit yang berkualiti.
"Dengan harga yang baik dan khidmat selepas jualan yang ditawarkan Malaysia, saya percaya para pembeli ini akan melakukan pembelian secara berterusan tanpa mengira faktor luaran seperti situasi terbaharu ini," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Nextgreen Global Bhd (NGGB) di Green Technology Park di sini pada Selasa.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Biobahan Api Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Sang Yew Ngin, Pengarah Urusan NGGB Datuk Lim Thiam Huat dan Pengarah NGGB Datuk Mohd Yusof Din.
Dalam lawatan itu, Willie meninjau secara dekat inisiatif hijau yang dijalankan oleh NGGB dalam penggunaan tandan buah kosong sawit yang diproses untuk menghasilkan pulpa dan kertas sebagai bahan percetakan, kertas tisu dan pembungkusan.
Setakat ini, NGGB mempunyai kapasiti pengeluaran 10,000 tan metrik kertas bebas kayu setahun dan menawarkan peluang pekerjaan kepada 180 penduduk tempatan.
Mengulas mengenai lawatan itu, Willie berkata industri berkenaan amat berpotensi untuk terus berkembang dan akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh terdekat.
"Sabah dan Sarawak merupakan penanam sawit terbesar di negara kita dan sudah semestinya industri hijau seperti ini perlu diperluaskan ke sana.
"Saya sudah berbincang dengan NGGB untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan di Sabah dan Sarawak sebagai rakan strategik, yang mana ini dapat memastikan situasi menang-menang dapat dicapai," katanya.
-- BERNAMA
#Indonesia #minyak sawit #eksport #Willie Mongin
;