Landskap pekerjaan Malaysia alami anjakan signifikan, lebih anjal - Deel
Bernama
Februari 19, 2024 06:30 MYT
Februari 19, 2024 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Landskap pekerjaan Malaysia mengalami anjakan signifikan ke arah bentuk bukan tradisional, termasuk elemen gig yang bercirikan pekerjaan sambilan dan lebih anjal serta pengambilan di peringkat global.
Deel yang juga platform sumber manusia serba lengkap global berkata anjakan itu, terutama dalam pengambilan global, turut dipacu oleh kekurangan tenaga kerja khususnya dalam peranan teknologi.
Ketua Serantau Deel bagi Asia, Karen Ng berkata, selain teknologi, kelompok baharu pekerja termasuk kalangan akauntan, juruterapi, guru dan peguam, turut menjadi pemacu bagi negara-negara yang berhasrat mencatat pertumbuhan ekonomi.
"Deel mengambil khidmat pekerja di peringkat tempatan atau tenaga kerja rakyat Malaysia untuk bekerja dalam negara atau bagi syarikat global dengan menawarkan peluang berkhidmat dengan syarikat-syarikat terbaik di negara asal.
"Peluang sebegini membolehkan rakyat negara ini meraih pengetahuan dan kemahiran baharu yang mungkin tiada di dalam negara. Ini juga memberi peluang untuk mereka mendapat pendedahan bermakna selain meningkatkan kemahiran sementara berada di Malaysia," katanya kepada Bernama.
Ng juga menyifatkan wujud keperluan bagi infrastruktur dasar global memandangkan syarikat-syarikat di serata dunia kini beralih daripada amalan bekerja dari pejabat kepada pengambilan pekerja dan sumber tenaga kerja yang lebih fleksibel dan global.
"Ini bukan hanya bagi kemudahan pengambilan pekerja global tetapi juga sebagai mengiktiraf kewujudan tenaga kerja baharu ini dan menjadikan status undang-undang lebih rasmi serta seiring dengan hak dan faedah pekerja sejagat," katanya.
Mengikut laporan pekerjaan Deel yang diterbitkan awal tahun ini, lima pekerjaan utama yang menyaksikan pengambilan pekerja Malaysia di peringkat global adalah jurubahasa, ahli statistik atau perangkawan, jurutera perisian, pembantu maya dan animator.
Malah, pengiktirafan peranan itu hanya menekankan kepentingan kumpulan tenaga kerja atau bakat Malaysia yang pelbagai selain membuktikan peningkatan relevan kemahiran itu di skala antarabangsa.
Ng berkata negara-negara utama yang menggaji sebahagian besar rakyat Malaysia adalah Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Singapura dan Australia.
"Pasaran-pasaran ini dikenali kerana kepelbagaiannya dan menyediakan peluang yang besar. Rakyat Malaysia yang berkhidmat dalam negara (sebaliknya) belum mendapat pengalaman antarabangsa," katanya.
Beliau juga menyifatkan perubahan dalam aliran pengambilan pekerja itu akan menarik kalangan profesional generasi seterusnya.
"Integrasi teknikal, bekerja secara jauh, pengambilan khidmat kerja berdasarkan kemahiran, pengaturan kerja secara fleksibel serta globalisasi dan pengambilan secara jauh adalah antara trend utama yang perlu dipantau dan dilaksanakan dalam tahun-tahun akan datang," katanya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini berkata, cadangan untuk membenarkan graduan asing daripada institusi pengajian tempatan bekerja sementara di Malaysia dalam bidang tertentu seperti sektor teknologi tinggi, dapat melonjakkan sektor pendidikan negara.
- BERNAMA