Laluan baharu Batik Air Batam-KL rancakkan pelancongan Malaysia-Indonesia
Bernama
Februari 17, 2024 05:31 MYT
Februari 17, 2024 05:31 MYT
KUALA LUMPUR: Laluan baharu Batik Air dari Batam ke Kuala Lumpur yang membuat penerbangan terus ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pada Sabtu, bakal melonjakkan trafik pelancongan dan meningkatkan ekonomi negara secara keseluruhan.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata Indonesia merupakan pasaran pelancongan utama untuk Malaysia berdasarkan hubungan budaya dan ketersambungan yang dikongsi antara kedua-dua negara.
"Kami yakin hubungan ini akan meningkatkan lagi ketibaan pelancong ketika kami bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Tourism Malaysia pada Sabtu.
Beroperasi tiga kali seminggu dengan pesawat Boeing 737, laluan baharu ini menekankan komitmen Batik Air untuk mengembangkan pertumbuhan rangkaiannya di Asia Tenggara sambil memenuhi peningkatan permintaan untuk perjalanan intraserantau.
Tourism Malaysia berkata awal semalam, penumpang yang tiba dalam penerbangan sulung itu, disambut oleh Ammar bersama wakil daripada Batik Air dan Malaysia Airport Holdings Berhad.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy berkata pengenalan penerbangan terus dari Batam ke Kuala Lumpur merupakan langkah strategik untuk mengembangkan kehadiran syarikat penerbangan itu di pasaran utama.
"Laluan baharu ini membolehkan penumpang dari Batam menyambung ke rangkaian penerbangan Batik Air yang semakin berkembang ke 53 destinasi merentasi 22 negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur," katanya.
Menurut Tourism Malaysia, Indonesia menduduki tempat kedua dalam 10 pasaran tertinggi di ASEAN yang menjana pelancong ke Malaysia, menyumbang 2.8 juta ketibaan antara Januari dan November 2023.
Laluan baharu itu dijangka merancakkan lagi pelancongan antara kedua-dua negara, selaras dengan sasaran Malaysia menerima 27.3 juta pelancong pada 2024 dan menjana pendapatan RM102.7 bilion, katanya.
Tourism Malaysia berkata dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan ketibaan 35.6 juta pelancong asing yang mengunjurkan hasil RM147.1 bilion, pelancaran laluan baharu itu menandakan langkah positif ke hadapan dalam mengukuhkan hubungan perjalanan Malaysia-Indonesia.
-- BERNAMA