Laksana semula GST: Perlu penelitian, ambil kira golongan terjejas

Harits Asyraf Hasnan
Jun 3, 2022 06:31 MYT
Perlu ada sistem sokongan kepada golongan yang mungkin akan terjejas akibat berubahan sistem percukaian ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Beberapa kriteria perlu diambil kira sebelum kerajaan memutuskan untuk menukar sistem percukaian negara seperti melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Pakar Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui'zz Morhalim khuatir sekiranya perubahan sistem percukaian itu menjadi alasan kepada pemain industri menaikkan harga di sebalik inflasi yang ditanggung rakyat.
"Kami berpendapat, perbincangan tentang usaha-usaha untuk kukuhkan kedudukan kewangan kerajaan perlu dibuat lebih awal walaupun kita masih berada dalam kedudukan ekonomi yang tidak menentu.
"Saya harap, kriteria seperti kedudukan inflasi yang lebih stabil - perlu diambil kira kerana kita tidak mahu perubahan cukai ini dijadikan alasan untuk menaikkan harga.
"Sebarang perubahan (sistem cukai) perlulah dilakukan dalam suasana keadaan ekonomi berada pada kedudukan yang lebih stabil dan mampan.
"Saya harap kerajaan turut mengambil kira sistem sokongan kepada golongan yang mungkin akan terjejas akibat berubahan sistem percukaian ini," katanya dalam temu bual bersama Niaga AWANI pada Jumaat.

Sebelum laksana #GST, ambil kira kedudukan inflasi, ekonomi perlu stabil dan mampan. Mungkin GST jadi alasan kenaikan harga barangan, sekiranya dilaksanakan tanpa penelitian. #NiagaAWANI #AWANIPagi pic.twitter.com/w50QQQN7BM

— Astro AWANI (@501Awani) June 3, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Menerusi wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan sistem GST sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.
Malah, katanya GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.
#GST #ismail sabri yaakob #MIDF Research #laksana semula GST