Laksana moratarium khas PKS, bantu percepat proses pemulihan ekonomi negara - Muhyiddin

Shuhada Abdul Kadir
September 10, 2022 14:10 MYT
Menurut Muhyiddin, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali tahun ini juga dilihat memberi impak besar kepada proses pemulihan sektor ekonomi. - Gambar fail/BERNAMA
PAGOH: Majlis Pemulihan Negara (MPN) meminta institusi perbankan untuk meneliti semula cadangan pelaksanaan moratarium khas kepada pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, saranan itu khusus kepada PKS yang masih belum pulih sepenuhnya rentetan pandemik COVID-19.
Beliau berkata, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali tahun ini juga dilihat memberi impak besar kepada proses pemulihan sektor ekonomi memandangkan hampir 96 peratus aktiviti ekonomi negara membabitkan kumpulan PKS.
"Dalam mesyuarat kita lepas, mereka minta supaya institusi perbankan bawah Bank Negara meneliti balik, boleh tak ada satu lagi special moratorium..
"Pasal moratorium dalam institusi kewangan, mereka tak rugi banyak pun, maka kalau kerajaan kata okay bagi sikit lagi masa, mereka dah cuba nak pulih tetapi tak boleh pulih lagi. Lepas itu nak pinjam duit dekat bank, bank kata dulu you tak bayar.
"Maka sekarang ini kita dah naik OPR, macam-macam lagi, you nak pinjam lagi, habis nak pinjam minta rekod setahun dua lepas, setahun dua lepas rugi, kalau nak berdasarkan keadaan biasa saya fikir takkan pulih, jadi ini kebimbangan besar saya," katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas perdana menteri berkata selain kemiskinan, langkah merancakkan dan memulihkan ekonomi PKS menjadi keutamaan terutamanya daripada segi kewangan.
ini kerana jelasnya, sekiranya PKS gagal bergerak lebih proaktif dalam menghasilkan pengeluaran yang boleh dipasarkan, proses pemulihan yang diusahakan akan turut terjejas dengan bebanan kos dan kenaikan kadar inflasi.
Malahan katanya, pelaksanaan moratarium tidak akan membawa kerugian besar kepada industri perbankan dan kerajaan juga digesa untuk membantu mencari jalan bagi mengurangkan beban peniaga.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Program Jualan Prihatin Rakyat di Bukit Pasir, di sini pada Sabtu.
Pada program itu, 1,000 set barangan keperluan antaranya beras, ayam segar dan telur ayam dijual dengan harga RM20 berbanding harga pasaran yang mencecah hampir RM50.
Dalam pada itu katanya, program yang merupakan inisiatif Perikatan Nasional (PN) berkenaan akan diperluaskan di seluruh negara dengan menyasarkan kumpulan B40.
#PKS #Muhyiddin Yassin #MPN #moratarium khas
;