Ladang vanila pintar manfaat teknologi pertanian 4.0
Zulfa Mohamad
Ogos 27, 2022 18:22 MYT
Ogos 27, 2022 18:22 MYT
BUKIT MERTAJAM: Ladang vanila di Taman Agro Permatang Pauh, di sini, menjadi satu-satunya ladang vanila yang menggunakan teknologi pintar di negara ini selari dengan era revolusi industri 4.0.
Ladang berkenaan diselia oleh Kairos Agriculture dan menggunakan Teknologi Agrikultur 4.0 meliputi teknologi kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI), penggunaan data raya serta pembelajaran mesin dan sistem dron.
Ketua Pegawai Eksekutif Kairos Agriculture, Ezra Tan memberitahu pihaknya memaksimumkan penggunaan teknologi sebaik mungkin bagi menjimatkan penggunaan tenaga kerja dan pada masa sama meningkatkan kualiti vanila yang ditanam.
"Kami menggunakan teknologi untuk mengawal suhu ‘rumah hijau’ yang menempatkan pokok vanila ini. Di sini suasana dan tempat amat baik untuk tanaman vanila berkembang.
"Setakat ini, penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Xiamen University (Malaysia) bekerjasama dengan kami dalam membuat kajian berkaitan vanila, justeru, kami berharap dengan kajian yang dilakukan bersama ini akan membantu lebih banyak pengusaha ladang vanila untuk mendapat lebih banyak pendapatan di masa depan," katanya.
Ezra berkata demikian selepas perasmian tapak fasa kedua untuk tanaman vanila yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Antarabangsa dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain pada Sabtu.
Sebanyak 5,000 keratan batang pokok vanila telah ditanam di atas tanah seluas dua ekar (0.809 hektar) sejak 2020 malah, kebun pintar tersebut menggunakan teknologi sistem penyiraman yang akan bertindak secara automatik jika keadaan cuaca terlalu panas atau tanah terlalu kering.
Sebanyak 10,000 keratan batang lagi akan ditanam pada fasa kedua bagi memenuhi permintaan terhadap tumbuhan herba itu yang banyak digunakan dalam industri makanan terutama ais krim dan produk tenusu.
Menurut Ezra, ketika ini pihaknya memberi tumpuan kepada usaha mengeksport vanila ke Jepun dan Singapura dan sedang mengintai pasaran lebih luas termasuk ke Eropah dan Amerika Syarikat.
"Kami berharap lebih ramai pengusaha akan terlibat dalam sektor ladang vanila di Malaysia dan kita dapat bekerjasama untuk menjenamakan vanila Malaysia , jadi kita boleh meningkatkan pasaran eksport seterusnya menjadikan produk vanila dari Malaysia ini kebanggaan negara," katanya.
Kairos Agriculture yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sedia bekerjasama dengan pengusaha ladang vanila di negara ini untuk mengeluarkan produk berkualiti bagi pasaran global.