KXP dijenamakan kepada Kedah Aerotropolis
Sinar Harian
November 18, 2021 09:45 MYT
November 18, 2021 09:45 MYT
ALOR SETAR: Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) akan diubah konsep dan dijenamakan kepada Kedah Aerotropolis.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana bukan sahaja lapangan terbang yang akan dibina sebaliknya merangkumi sebuah bandar raya baharu di persekitaran lapangan terbang terbabit.
Menurutnya, strategi menukar KXP kepada Kedah Aerotropolis juga adalah disebabkan hasrat mahu menjadikan KXP sebagai hub kargo yang diangkut menggunakan pesawat di rantau Asia seperti yang terdapat di Memphis, Amerika Syarikat.
“Kedah Aerotropolis ini akan dibangunkan sebagai ‘Memphis of Asian’, model pembangunan dari negara itu akan dibawa ke negeri ini, namun dengan mengambil kira peraturan dan perundangan sedia ada.
"Apabila sudah dibangunkan bandar raya, dengan sendirinya dibangunkan lapangan terbang.
“Ia membabitkan 9,841 ekar kawasan keseluruhan yang akan digazetkan, yang mana 4000 ekar daripadanya khusus untuk bina lapangan terbang,” katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, antara enam komponen utama Kedah Aerotropolis termasuk kompleks sejuk beku.
“Saya baru melawat pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) di mana kapal terbang dari luar negara dibaik pulih dan dijual semula.
"MRO merupakan bidang yang akan dibangunkan di Kedah Aerotropolis. Industri ini sangat luas dan terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Anak syarikat Pos Malaysia, Post Aviation menguruskan kargo, saya juga akan mohon agar syarikat itu beroperasi di Kedah Aerotropolis,” katanya.
Menurutnya, biarpun dibangunkan secara konsep bandar raya, namun pihaknya akan memastikan semua peraturan dipatuhi dalam pembangunan komersial terbabit.
“Buat masa ini, perunding kita bersama perunding pihak pelabur sedang melakukan penilaian sebenar yang munasabah.
"Nilai yang dipersetujui itu akan dijadikan deposit yang mana saya anggarkan nilainya mencecah RM1.7 bilion.
“Sekiranya pemaju gagal kemukakan deposit dalam tempoh ditetapkan, kita akan lanjutkan tempoh dan sekiranya masih gagal perjanjian akan terbatal dengan sendirinya,” katanya.
Tambah beliau, selepas KXP dijenamakan semula kepada Kedah Aerotropolis, ramai pihak menunjukkan minat dan melihat projek berkenaan berpotensi besar sebagai hub industri kargo.