KWSP, PNB rancang beli aset Fasa 2 Battersea dengan harga RM8.8 bilion
Bernama
Januari 18, 2018 04:00 MYT
Januari 18, 2018 04:00 MYT
Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merancang membeli aset komersial bernilai £1.61 bilion (£1 = RM5.47) yang sedang dibangunkan ketika ini dalam Fasa 2 projek Battersea Power Station.
Kedua-dua dana itu memeterai Perjanjian Dasar Induk dengan Battersea Phase 2 Holding Company - unit milik penuh Battersea Project Holding Co Ltd, yang merupakan syarikat sekutu 40 peratus milik SP Setia Bhd - untuk menimbang dengan teliti terma-terma jualan berpotensi, kata SP Setia dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.
Aset itu akan dijual kepada sebuah syarikat usaha sama yang akan dibentuk antara PNB dan KWSP, kata syarikat itu.
Pemaju hartanah itu berkata, dengan prajualan kediaman lebih 90 peratus dan keseluruhan 470,000 kaki persegi ruang pejabat di bangunan Battersea Power Station disewakan kepada Apple, minat yang ditunjukkan oleh PNB dan KWSP untuk menjadi pemegang aset jangka panjang dalam projek Battersea Power Station adalah tepat pada masa.
"Cadangan urus niaga itu, sebaik sahaja selesai, akan memberi prospek baik kepada pelan perniagaan kami kerana ia akan meningkatkan pulangan perniagaan kami dan membolehkan SP Setia memanfaatkan peluang yang muncul sebagai pemaju hartanah di samping terus memainkan peranan penting dalam keseluruhan pembangunan projek itu.
"Ia juga akan membolehkan kami menumpukan untuk memperoleh keuntungan pembangunan dan pulangan pelaburan daripada baki fasa pembangunan projek Battersea Power Station," kata SP Setia.
Syarikat itu berkata, cadangan urus niaga tersebut menunjukkan komitmen langsung kukuh oleh pemegang saham institusi utama dalam projek tersebut.
Pegangan saham dalam Battersea Project Holding Co Ltd akan kekal tidak berubah antara Sime Darby Property Berhad, SP Setia dan KWSP.
SP Setia berkata, ia terus komited dan yakin dengan prospek jangka panjang projek Battersea Power Station.
Fasa 1 (dikenali sebagai Circus West Village) yang terdiri daripada 12 blok kediaman dan 100,000 kaki persegi restoran, kedai, pejabat dan kemudahan liburan yang berkualiti tinggi telah siap dan diserahkan kepada pembeli dan penyewa sepanjang tahun 2017.
Projek Battersea Power Station merangkumi kawasan seluas 17 hektar dan termasuk 3.5 juta kaki persegi ruang komersial bercampur, bersama dengan 4,364 rumah baharu.
-- BERNAMA
#aset komersial
#Battersea
#Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
#KWSP
#Permodalan Nasional Bhd
#PNB
#Sime Darby