KWSP peruntuk RM250 juta, pacu pertumbuhan syarikat pertengahan
Astro Awani
Mac 18, 2024 11:40 MYT
Mac 18, 2024 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperuntukkan RM250 juta bagi memangkin pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan di negara ini melalui usaha sama dengan sebuah firma modal teroka pan-Asia, Gobi Partners.
Usahasama ini sebahagian komitmen KWSP meningkatkan pelaburan dalam pasaran domestik, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelabur terbesar dalam pasaran domestik dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM702.48 bilion setakat Disember 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata KWSP berusaha memainkan peranan penting di samping syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain dalam menyokong dan memajukan ekosistem di peringkat awal, selain melabur secara strategik dan menangani jurang kritikal.
Jelasnya, KWSP boleh membantu memacu pertumbuhan syarikat-syarikat ini serta meraih pulangan larasan risiko yang baik seiring menyokong Rangka Kerja Ekonomi MADANI.
"KWSP komited terhadap pembangunan syarikat berpotensi tinggi di Malaysia di samping menyelaraskan strategi KWSP dengan pembangunan ekosistem perlindungan sosial yang inklusif.
"Komitmen ini adalah berlandaskan mandat untuk memenuhi beberapa tema pelaburan strategik termasuk penjagaan kesihatan, dengan tumpuan kepada penjagaan warga emas dan ‘silver economy’, sekali gus mencerminkan pengiktirafan KWSP terhadap kepentingan menangani keperluan penduduk yang semakin menua.
"Dalam jangka panjang, kami berharap usaha ini menyumbang kepada membina masyarakat yang berdaya tahan terhadap cabaran ekonomi dan sosial, selain memberikan pulangan yang baik untuk ahli kami," memetik kenyataan itu.
Pada masa sama, KWSP memaklumkan komitmen ini juga adalah usahanya untuk mengukuhkan perlindungan sosial melalui pelaburan strategik dalam syarikat bersaiz sederhana yang berpotensi di Malaysia.
Pelaburan ini akan bertumpu kepada enam tema strategik antaranya penjagaan kesihatan yang memfokuskan kepada penjagaan warga emas dan ‘silver economy’.
Turut diberi tumpuan adalah pertanian dan sains makanan yang melihat kepada penambahbaikan ekosistem pengeluaran makanan, keterangkuman perkhidmatan kewangan dan kemampanan dengan bertumpukan kepada peralihan tenaga.
Antara tumpuan lain adalah pendidikan yang bertujuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan infrastruktur sosial serta lain-lain usaha yang bertepatan dengan mandat strategik KWSP.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Bersama Gobi Partners, Thomas G. Tsao berkata, syarikat itu berbangga untuk bekerjasama dengan KWSP dalam komitmen ke arah pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan di Malaysia.
"Tumpuan strategik kami terhadap enam tema utama menekankan dedikasi kami untuk memacu inovasi dan mencipta impak sosio-ekonomi yang berkekalan," katanya.