KWSP lancar aplikasi i-Akaun versi baharu, bantu ahli rancang persaraan
Hasimi Muhamad
Julai 6, 2023 16:10 MYT
Julai 6, 2023 16:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melancarkan aplikasi i-Akaun versi baharu, yang menggabungkan ciri-ciri inovatif dan interaktif untuk meningkatkan pengalaman pengguna.
Platform yang dinaik taraf itu menyediakan pelbagai fungsi untuk ahli melaksanakan transaksi berkaitan KWSP, termasuk pengiraan simpanan persaraan baharu bagi membantu menilai kecukupan simpanan apabila bersara nanti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pengenalan versi terkini aplikasi i-Akaun itu mencerminkan komitmen institusi berkenaan terhadap kesejahteraan kewangan dan perancangan persaraan ahli, selain menyokong perancangan masa depan yang lebih selamat.
"Kami memahami bahawa perancangan persaraan adalah satu perjalanan yang memerlukan pendekatan berhati-hati. Dengan ciri-ciri dan fungsi baharu dalam aplikasi i-Akaun, kami berhasrat menyediakan anda (ahli KWSP) aplikasi yang diperlukan untuk mengemudi perjalanan ini dengan yakin dan jelas.
"Melalui (aplikasi) antara muka yang mesra pengguna, anda sekarang boleh memantau sumbangan anda, mengesan pertumbuhan pelaburan, serta menilai kemajuan (simpanan) ke arah matlamat persaraan anda.
"Akses 'real-time' ini kepada maklumat kewangan membolehkan anda membuat pilihan yang berinformasi, mengambil langkah proaktif, dan kekal pada landasan yang betul dengan perancangan persaraan anda," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023) di ibu negara.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan ISWC 2023 dan melancarkan versi baharu aplikasi i-Akaun KWSP.
Berucap lanjut, Amir Hamzah berkata KWSP sedang melaksanakan langkah-langkah konkrit, dengan fokus untuk menjamin kesejahteraan masa depan persaraan rakyat Malaysia.
Jelas beliau, memandangkan keahlian KWSP kini mencecah seramai 15.8 juta, pihaknya berusaha melaksanakan strategi jangka panjang yang bertujuan mewujudkan impak positif dan memupuk kesejahteraan, khususnya dalam kalangan warga emas.
"Antara lain, KWSP kini tertumpu kepada memperluaskan perlindungan KWSP dan meningkatkan kecukupan simpanan persaraan ahli," tambah beliau.
ISWC 2023 berlangsung selama dua hari ini, dan dianjurkan bersama oleh KWSP, Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).
Bertemakan 'Changing the Game: Building the World We Want,' program itu bertujuan menangani jurang kritikal dalam aspek perlindungan keselamatan sosial selain menyokong hak asas bagi mendapatkan perlindungan sosial.