KWSP: Kerajaan tidak benarkan pengeluaran demi imbangi, jamin masa depan rakyat - Tengku Zafrul

Nickyson Nyambar
Disember 30, 2021 22:43 MYT
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan dengan kerjasama beberapa agensi tampil menyediakan bantuan yang telah difikir secara rapi buat golongan yang terkesan akibat bencana banjir. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah bertujuan untuk mengimbangi kebajikan serta untuk menjamin masa depan rakyat.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan sedaya upaya menyediakan inisiatif lain bagi membantu rakyat yang terkesan ketika waktu sukar seperti banjir besar yang melanda negara saat ini.
"RM101 bilion dikeluarkan melalui KWSP, saya rasa cukup setakat itu. Sebagai Menteri Kewangan tanggungjawab saya adalah untuk mengimbangi kebajikan rakyat dalam jangka masa pendek dan jangka panjang.
"Kalau kita imbas kembali dalam tahun 2014 ketika negara dilanda banjir teruk, hampir 300,000 isi rumah terpaksa dipindahkan, lebih banyak dari yang berlaku sekarang.
"Lebih ramai terkesan, hilang harta benda, rumah dan kenderaan. Namun ketika itu, kerajaan tidak membenarkan sebarang pengeluaran KWSP walau satu sen pun, sebaliknya kerajaan pada masa itu guna kaedah-kaedah lain bagi membantu mangsa-mangsa bencana.
"Malangnya sekarang ini ada pihak-pihak yang menuntut untuk mengeluarkan KWSP, tetapi tuntutan ini dibuat dengan sikap tidak bertanggungjawab dan tanpa perkiraan rapi," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Khamis.
Ujar beliau, hampir 50 peratus atau bersamaan 6.1 juta pencarum mempunyai baki kurang dari RM10,000 dalam simpanan KWSP mereka yang mana 74 peratus daripadanya adalah golongan Bumiputera.
"Lebih membimbangkan, sebanyak 79 peratus pencarum mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000 juga dari golongan Bumiputera, kita boleh menggubal dasar populis untuk meraih populariti, tetapi saya perlu bertanggunjawab untuk elakkan kemudaratan masa depan rakyat terutamanya anak-anak dan cucu-cucu kita," jelas beliau.
Ujar Tengku Zafrul, kerajaan telah tampil dengan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat khususnya yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda negara sejak dua minggu yang lalu.
Antaranya, bantuan wang ihsan RM1,000, wang khairat kematian RM10,000 buat keluarga yang terlibat, serta moratorium pinjaman enam bulan.
"Ada lagi bantuan-bantuan yang baru diumumkan beberapa hari lepas seperti pemberian voucher kepada mangsa-mangsa banjir bagi pembelian peralatan elektrik, RM500 untuk setiap isi rumah.
"Alhamdullilah, Proton dan Perodua juga telah bersetuju untuk memberi diskaun 50 peratus ke atas alat ganti kereta serta menawarkan pelbagai servis percuma seperti kos upah baik pulih, caj tunda kereta dan sebagainya.
"Kerajaan juga menyediakan rebat sebanyak RM1,000 yang digunakan bagi tujuan pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan peribadi yang mengalami kerosakan teruk.
"Kesemua bantuan yang diperuntukkan ini holistik bagi membantu mangsa-mangsa banjir," kata beliau dalam temu bual sama.
#KWSP #pengeluaran #pencarum #darurat banjir #umpulan Wang Simpanan Pekerja #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #banjir besar
;