KWSP gesa ahli buat penamaan untuk simpanan mereka

Bernama
November 11, 2013 22:09 MYT
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggesa ahlinya membuat penamaan untuk simpanan KWSP mereka bagi memastikan orang yang disayangi mendapat perlindungan kewangan sekiranya ahli meninggal dunia.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata satu tinjauan menunjukkan ahli sedar mengenai pentingnya menamakan waris, namun tetap tidak mengambil tindakan membuat penamaan.
"Sebabnya mungkin mereka memandang ringan soal menamakan waris simpanan mereka. Oleh itu kami akan terus mengingatkan ahli agar membuat penamaan secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan.
Setakat 30 Sept 2013, jumlah penamaan sebanyak 3.57 juta atau peningkatan 4.55 peratus berbanding waktu yang sama pada 2012. Perangkaan KWSP juga menunjukkan 6.43 juta ahli aktif mencarum sehingga Jun 2013.
"Ahli hanya perlu menghabiskan beberapa minit untuk mengisi borang penamaan yang sekali gus memastikan kesejahteraan anggota keluarga mereka terjamin jika mereka meninggal dunia kelak.
"Borang penamaan (KWSP 4) perlu diserahkan oleh ahli sendiri di pejabat cawangan KWSP berhampiran," kata beliau.
Dengan membuat penamaan, simpanan ahli, kata Affendi, akan diserahkan kepada waris dinamakan itu tanpa sebarang halangan.
"Bagi ahli Islam, waris dinamakan itu akan bertindak sebagai wasi (pentadbir) yang bertanggungjawab membahagikan simpanan itu kepada ahli keluarga yang layak mengikut Hukum Faraid," katanya.
Ahli juga diingatkan supaya membuat penamaan ketika mereka sihat dan berfikiran waras. Ini perlu bagi mengelakkan sebarang cubaan individu tidak jujur mengambil kesempatan terhadap ahli yang menghidap penyakit fizikal atau mental.
Jika ahli tidak membuat penamaan, keluarga ahli yang meninggal dunia akan berhadapan dengan proses yang sukar dan memakan masa untuk menuntut simpanan ahli. Ini melibatkan keperluan mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir, Surat Perintah Pembahagian dan ini mungkin dikenakan bayaran.
"Ahli perlu tahu penamaan KWSP mengatasi wasiat bertulis," kata Affendi.
KWSP juga menggalakkan semua ahli mengemas kini penamaan mereka apabila ada perubahan seperti perkahwinan, perceraian atau kelahiran anak.
Borang KWSP 4 boleh diperoleh dari cawangan KWSP terdekat atau dimuat turun dari laman web www.kwsp.gov.my atau dengan menghubungi Pusat Panggilan KWSP 03-8922 6000 (8.00 pagi hingga 6.00 petang dari Isnin hingga Jumaat) atau mengemukakan pertanyaan secara dalam talian melalui http://enquiry.kwsp.gov.my.
#Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) #Nik Affendi Jaafar
;