KWSP dijangka tingkat pelaburan domestik 2016
Pritha Manivannan
Mei 3, 2016 15:02 MYT
Mei 3, 2016 15:02 MYT
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka meningkatkan pelaburan domestiknya tahun ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, tumpuan akan diberikan kepada aset tempatan terutamanya segmen infrastruktur.
Shahril berkata ini merupakan salah satu strategi mempelbagaikan pelaburan KWSP.
"KWSP sentiasa mempelbagaikan pelaburannya. Jika anda lihat, pada 2015 pelaburan kami memberi fokus kepada pasaran global. Tetapi pada 2014, kami memberi fokus kepada pelaburan domestik.
"Kami hendak menubuhkan portfolio yang mempunyai kepelbagaian bagi jangka panjang dengan pelbagai kelas aset dan pasaran.
"Melalui langkah ini, kami tidak akan terjejas jika salah satu daripada kelas aset atau pasaran ini tidak mempunyai prestasi yang baik," kata Shahril.
Katanya langkah mempelbagaikan pelaburan akan membantu mengurangkan impak ketidaktentuan ekonomi global terhadap KWSP.
Menurutnya, ketika ini KWSP sudahpun mempunyai pelaburan, pendapatan serta sumbangan segmen domestik yang kukuh.
Pada 2015, pelaburan domestik KWSP berada pada 75 peratus.
Ini merupakan penyusutan 2 peratus daripada tahun sebelumnya.
Tambah Shahril, pertumbuhan pantas dilihat dalam pelaburan asing dari 6 peratus pada 2009 ke 25 peratus pada 2015.
Sasaran pulangan 2016
Sementara itu, KWSP optimis ia akan terus menjana sasaran pulangan 2 peratus atas kadar inflasi.
Menurut Shahril, ini meskipun dengan cabaran dalam ekonomi global.
Katanya KWSP melepasi sasaran utama tersebut sejak 5 hingga 6 tahun lalu.
"KWSP merupakan skim caruman tetap. Ini bermaksud kami akan sentiasa kekalkan sasaran utama, iaitu mencapai kadar pulangan sebenar dua peratus di atas paras inflasi negara.
"Sejak 5 hingga 6 tahun lalu, kami telah melepasi sasaran utama tersebut dan mendapat kadar pulangan sebenar hampir kadar inflasi + 4 peratus," kata Shahril.
Tambahnya pada suku pertama tahun ini, prestasi pasaran ekuiti tidak memberangsangkan bukan sahaja bagi KWSP tetapi bagi semua pengurus dana pelaburan di seluruh dunia.
Bank Negara Malaysia menjangka kadar inflasi akan tumbuh antara 2.5 peratus dan 3.5 peratus tahun ini.
Prestasi 2015 KWSP
KWSP melaporkan peningkatan 4.91 peratus caruman tahunan kepada RM59.98 bilion, berbanding jumlah pengeluaran RM44.25 bilion bagi tahun kewangan 2015.
Ia sekaligus mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM15.73 bilion.
Ia turut mencatatkan kenaikan 7.54 peratus jumlah aset pelaburan KWSP kepada RM684.53 bilion.
Ini berbanding RM636.53 bilion yang dicatatkan pada 2014.
KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar berjumlah RM44.23 bilion dengan pulangan pelaburan sebanyak 7.48 peratus.
Ini merupakan peningkatan 23 mata asas berbanding 7.25 peratus yang dicatatkan 2014.
Shahril berkata, tahun 2015 merupakan tahun yang dibelenggu isu cabaran ekonomi dan pasaran di peringkat global.
Namun, katanya program diversifikasi pelaburan jangka panjang yang baik telah membantu mengurangkan impak cabaran ekonomi.
Tambah beliau antara pencapaian terbaik KWSP pada 2015 adalah pengisytiharan kadar dividen 6.40 peratus di samping keadaan pasaran meruap dan amat mencabar.