KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM15.12 bilion bagi suku kedua

Bernama
September 19, 2020 21:54 MYT
KWSP mencatat pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM15.12 bilion bagi tempoh suku kedua (Q2) berakhir 30 Jun 2020. - Gambar fail/Astro AWANI
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM15.12 bilion bagi tempoh suku kedua (Q2) berakhir 30 Jun 2020.
Menurut dana persaraan itu, ekuiti menyumbang sebanyak 54 peratus atau RM8.11 bilion kepada jumlah pendapatan kasar.
Instrumen pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM6.17 bilion manakala sektor hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang masing-masing menyumbang RM0.47 bilion dan RM0.37 bilion, demikian menurut kenyataan KWSP hari ini.
Pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM13.46 bilion selepas mengambil kira penurunan nilai kos di atas ekuiti tersenarai iaitu amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tunku Alizakri Alias berkata keadaan mencabar serta tidak menentu bermula awal 2020 lepas juga tidak menunjukkan tanda pemulihan berikutan isu-isu seperti ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat-China serta penurunan harga minyak, masih berterusan dan COVID-19 terus memburukkan keadaan di negara-negara kurang bersedia menghadapinya.
Pelaksanaan perintah berkurung oleh ekonomi utama dunia serta penutupan sempadan turut menjejaskan rangkaian bekalan, seterusnya mengakibatkan kemerosotan dalam pelbagai sektor dan industri, katanya.
"Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP yang menjadi panduan kami untuk menstruktur pelaburan dan portfolio, telah membantu dalam mengharungi tempoh separuh tahun pertama yang sangat tidak menentu. Sebagai contoh, pendedahan pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap telah membolehkan kami untuk kekal teguh semasa tempoh kemerosotan pada permulaan suku kedua.
"Ini diikuti dengan kenaikan indeks FBM KLCI dan pemulihan pasaran global pada penghujung suku berkenaan berikutan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat," katanya.
Bagi masa hadapan, Alizakri menegaskan bahawa KWSP akan kekal berwaspada berikutan kemungkinan berlakunya gelombang kedua COVID-19 yang boleh memburukkan lagi kelemahan ekonomi di negara-negara yang masih bergelut dengan impak gelombang pertama.
SAA KWSP memperuntukkan sebanyak 51 peratus kepada instrumen pendapatan tetap, 36 peratus kepada ekuiti, 10 peratus bagi hartanah dan infrastruktur serta 3 peratus kepada instrumen pasaran wang sebagai satu rangka kerja untuk mengoptimumkan pulangan jangka panjang dalam lingkungan had risiko yang boleh diterima.
KWSP berkata, strategi pelaburan luar negara yang berpandukan SAA juga telah membantu menambah nilai prestasi keseluruhan bagi suku tersebut.
Pada akhir Jun 2020, aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM929.64 bilion dan 30 peratus daripadanya dilaburkan di luar negara.
Setakat Q2 2020, sebanyak 39 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan adalah hasil sumbangan pelaburan KWSP di luar negara.
"Pendapatan luar negara itu didorong oleh pemulihan dalam pasaran ekuiti global pada suku kedua tahun ini dan membolehkan KWSP kekal berdaya tahan berikutan kemelesetan pada suku pertama tahun ini.
"Instrumen pendapatan tetap turut menyumbang pendapatan yang lebih tinggi dalam persekitaran kadar faedah rendah yang memberi lebih banyak peluang kepada KWSP untuk meraih keuntungan," katanya.
Bagi tempoh separuh tahun kedua 2020, Alizakri berkata KWSP masih mengambil langkah berhati-hati kerana walaupun semakin banyak negara melonggarkan perintah kuarantin dan membuka semula pasaran masing-masing, tiada jaminan vaksin COVID-19 dapat disiapkan dalam masa terdekat.
"Melihatkan situasi di luar jangkaan ini, kami berpuas hati kerana berjaya mencatat prestasi yang kukuh di samping mengimbangkan keperluan aliran tunai segera dengan kepentingan jangka panjang untuk memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli KWSP serta pulangan pelaburan yang mampan.
"Di masa hadapan, adalah amat penting bagi KWSP untuk terus melabur dalam aset yang kukuh, khususnya dalam syarikat-syarikat yang telah menunjukkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu," katanya.
Beliau berkata ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dana persaraan itu telah menyediakan beberapa langkah bantuan kecemasan untuk membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh ahli dan majikan.
Ini termasuk kemudahan Pengeluaran i-Lestari yang membenarkan ahli membuat pengeluaran bulanan antara RM50 hingga RM500 bermula April 2020 hingga Mac 2021, tertakluk kepada baki Akaun 2 mereka.
Setakat 30 Jun 2020, KWSP telah meluluskan sebanyak 4.35 juta permohonan dengan jumlah pengeluaran kumulatif antara bulan April dan Jun 2020 bernilai RM3.79 bilion.
Selain itu, KWSP juga telah menerima sebanyak 37,888 permohonan (sehingga 3 Julai 2020) untuk Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) yang membolehkan majikan memohon penangguhan dan menstruktur semula caruman syer majikan yang mana sejumlah 10,528 permohonan berjumlah RM70.4 juta telah diluluskan.
Kemudahan itu adalah berikutan lanjutan tarikh akhir untuk majikan membayar caruman wajib bagi bulan Mac 2020 dan seterusnya untuk Mei hingga Disember 2020, kata KWSP.
Bagi tempoh sama, KWSP juga telah mengurangkan caj jualan yang dikenakan oleh institusi pengurusan dana untuk tempoh 12 bulan sehingga 30 April 2021 yang mana pelaburan melalui ejen menyaksikan kadar caj jualan dikurangkan daripada kadar maksimum 3 peratus kepada kadar maksimum 1.5 peratus manakala tiada sebarang caj jualan dikenakan bagi pelaburan melalui i-Invest dalam i-Akaun (Ahli).
Selain itu, Alizakri berkata, KWSP juga komited dalam penggunaan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebagai teras dalam proses membuat keputusan pelaburan.
"Mengambil kira tahap ketidaktentuan dan ketidakpastian yang kian meningkat dan menjadi satu kebiasaan, amalan ESG yang teguh akan menjadi satu keperluan. Kami juga yakin ia akan membolehkan ekonomi, industri, dan syarikat untuk lebih menyesuaikan diri dan lebih berdaya tahan dalam menghadapi krisis," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Kumpulan Wang Simpanan Pekerja #KWSP #pendapatan pelaburan kasar #suku kedua
;